Ia merupakan kemenangan pertama Portugal bagi Kejohanan Eropah.
Eder, pemain kelab Perancis Lille berusia 28, mengatur gerakan cantik sebelum menjaringkan gol pada minit ke-109 dari jarak 25 meter.
“Sungguh menakjubkan,” kata Eder yang merupakan pemain simpanan Portugal itu.
“Kami bertaruh dengan penuh kekuatan, kami menakjubkan. Kami layak menerima kemenangan ini atas usaha yang diberikan oleh semua pemain dan staf.”
Ia merupakan keputusan mengejutkan bagi pasukan Didier Deschamps itu.
Walaupun mengawal perlawanan, namun Perancis, yang mengharapkan akan menggondol piala tersebut buat kali ketiga, melepaskan beberapa peluang di gelanggang sendiri.
Bintang Portugal Ronaldo menitiskan air mata ketika dibawa keluar padang selepas mengalami kecederaan pada minit 24, namun akhirnya berpeluang menjulang piala.
Namun harapan yang diletakkan ke atasnya menjadi orang yang akan membawa kemenangan kepada Portugal, tidak kesampaian. Beliau sekadar terpaksa menonton perlawanan selepas pergelutan dengan Dimitri Payet menyebabkan beliau terjatuh.
Bagi Perancis, ia merupakan kekalahan pahit, terutama selepas disebut-sebut menjadi pasukan yang akan dinobatkan juara Eropah kali ini, seterusnya memberikan suntikan semangat kepada negara yang masih cuba pulih daripada serangan keganasan di Paris pada November lepas.
“Kami terlepas peluang, mungkin bukan peluang yang unik, tetapi peluang terbaik menjadi juara Eropah,” kata pengurus pasukan, Deschamps.
“Kami terlalu hampa dan ia memerlukan masa untuk menerimanya. Kami menang bersama, menderita bersama dan tewas bersama.
“Sudah tentu indah sekali kalau dapat membawa pulang piala ini kepada penyokong, di sini.”
-Reuters