
Pakar Perunding Psikiatri Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata masalah itu sebenarnya mampu menjadi ‘bom jangka’ yang berpotensi menyebabkan individu berkenaan bertindak ganas sehingga mengakibatkan kematian.
Dr Muhsin berkata sikap panas baran melampau berbeza dengan penyakit mental yang sudah disahkan doktor kerana ia lebih berkait kepada personaliti dalaman individu berkenaan.
“Ada kajian di Amerika Syarikat yang mengatakan sakit mental seperti kemurungan, bipolar dan halusinasi hanya menyumbang 3% daripada jumlah perlakuan ganas dan yang selebihnya masalah kesihatan mental yang tidak disedari individu sehingga membawa kepada keadaan lebih serius,” katanya.
Beliau berkata demikian baru-baru ini sebagai mengulas faktor penyumbang masyarakat kini yang dilihat semakin hilang sifat perikemanusiaan sehingga sanggup melakukan keganasan mengakibatkan kematian, hanya berpunca daripada hal kecil.
Antaranya termasuk kes seorang ibu yang sanggup menghempas bayinya yang berusia 19 bulan ke lantai sehingga mati di Sepang, April lalu dan seorang lelaki dipukul hingga mati hanya kerana kereta dipandunya terlanggar kenderaan diletak di tepi gerai makan di Pantai Dalam, Kuala Lumpur pada bulan yang sama.
Beliau berkata individu yang memiliki sikap panas baran keterlaluan dan cepat tertekan mungkin selalunya lebih gemar bertindak melulu menyelesaikan konflik dihadapinya sehingga menyebabkan perbuatan ganas.
“Individu yang ada masalah kesihatan mental ini tidak mempunyai kemahiran berkesan untuk menyelesaikan konflik yang dihadapi.
“Contohnya individu panas baran yang ada konflik peribadi dengan kawan sendiri, boleh menimbulkan masalah komunikasi sebab tidak ada perbincangan baik hingga berdendam dan membawa kepada tindakan di luar jangka,” katanya.
Katanya, sebarang masalah kehidupan seperti kekangan kewangan, hubungan kekeluargaan yang longgar mahupun tekanan di tempat kerja boleh diselesaikan dengan baik tanpa perlu perlakuan ganas sekiranya individu terbabit memiliki tahap kesihatan mental yang positif.
“Maksudnya, jika individu itu boleh mengawal sikap marahnya mahupun tekanan hidup dihadapinya dengan seimbang, maka secara langsung mereka akan lebih positif untuk bertindak menyelesaikan apa jua masalah. Bukannya dengan bertindak melulu melepaskan geram kepada orang lain,” katanya.
Dr Muhsin berkata berdasarkan maklum balas pesakitnya, kerap kali mereka mengatakan peningkatan kos sara hidup, masalah keluarga iaitu hubungan interpersonal dan tekanan di tempat kerja, merupakan penyumbang tekanan perasaan melampau hingga bertindak agresif apabila tidak mampu mengawalnya.
Sehubungan itu, beliau menasihati mana-mana individu yang memiliki sikap negatif sedemikian supaya bertindak segera mengatasi gangguan kesihatan mental berkenaan dengan sebaik mungkin untuk memastikan tidak menjadi lebih serius sehingga memudaratkan diri dan orang lain.
“Seseorang itu kena mengamalkan psikologi positif sejak kecil lagi. Ibu bapa, sebagai contoh, yang mempunyai kualiti psikologi positif amat penting untuk diikuti anak-anak.
“Antara elemen psikologi positif adalah sentiasa berfikiran positif dan bertenang semasa berdepan situasi sukar. Ia bertindak sebagai penampan jika berdepan tekanan emosi yang akhirnya menjadikan individu itu mampu menangani masalahnya dengan baik,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Psikologi Kanan Universiti Malaysia Pahang (UMP) Paridah Mohd Ali berkata perasaan marah merupakan perkara biasa yang ada kepada manusia, namun sikap mudah marah keterlaluan ialah sesuatu yang tidak normal.
Paridah berkata faktor individu bersikap panas baran melampau disebabkan sifat semula jadinya ataupun terdapat penyebab luaran yang boleh mencetuskan kemarahannya.
“Contohnya seseorang itu mempunyai terlalu banyak masalah yang tidak boleh dikawal dan kurang berkomunikasi menyebabkannya merasai tekanan terlalu tinggi, hingga membuatkannya melepaskan kemarahan kepada orang lain.
“Waktu sedang marah memang tidak sedar memukul anak misalnya, tetapi selepas selesai melepaskan geram tersebut, baru individu terbabit menyedari tindakannya yang mana ketika itu ia sudah terlambat sebab sudah mencederakan orang lain,” katanya.
Beliau berkata individu yang menyedari dirinya memiliki sikap panas baran melampau perlu mencari orang yang boleh menyenangkannya dan menghilangkan rasa marahnya dengan berkesan, untuk berkongsi masalah supaya tidak menimbulkan kejadian buruk yang boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain.
Bagi individu yang tidak sedar sikap negatif sedemikian pula, katanya, ahli keluarga dan orang terdekat perlu peka dengan perlakuannya itu untuk memastikan langkah seharusnya diambil bagi menangani kemarahannya, sekali gus mengelakkan daripada sebarang kejadian tidak diingini.
“Contohnya jika dalam keluarga kita ada ahli yang dia hormat dan rasa segan, orang itu perlu membantu individu ini sama ada menasihatinya supaya jangan terlampau mudah marah ataupun cadangkannya berjumpa kaunselor mahupun pakar psikiatri untuk mengawal sikap berkenaan,” katanya.