Tuduhan curi pin, saksi akui hambur kata kesat terhadap Zara

Tuduhan curi pin, saksi akui hambur kata kesat terhadap Zara

Saksi yang juga ketua bilik asrama bertindak demikian kerana Zara Qairina Mahathir nafi curi pin bendera yang ditemukan dalam beg miliknya.

Zara Qairina
Kejadian saksi marah dan menjerit kata kesat ke atas Zara Qairina Mahathir, 13, berlaku sehari sebelum remaja itu ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pelajar senior mengaku di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu memarahi dan menjerit kata kesat kerana mendakwa Zara Qairina Mahathir mencuri pin bendera Malaysia kepunyaannya, sehari sebelum remaja itu ditemukan tidak sedarkan diri.

Keterangan itu diberikan saksi kanak-kanak ke-14, yang merupakan ketua bilik di asrama, pada hari ke-23 prosiding inkues kematian Zara di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Peguam Shahlan Jufri, yang mewakili ibu Zara, berkata saksi berkata dia bertindak demikian kerana Zara menafikan dakwaan mencuri pin bendera itu, yang ditemukan dalam beg miliknya.

“Saksi juga mengesahkan pada malam 15 Julai, Zara Qairina disoal oleh beberapa pelajar senior mengenai kes kecurian dompet, kad ATM, wang tunai, dan pin bendera Malaysia kepunyaan saksi.

“Saksi berkata dia cuma bertanya tentang pin bendera kepada Zara Qairina dan bukan mengenai tuduhan kehilangan barang pelajar-pelajar junior lain…kata saksi, Zara Qairina menafikan tuduhan tentang kecurian pin bendera tersebut,” katanya menurut Bernama selepas prosiding.

Shahlan berkata, saksi turut memaklumkan ada pelajar junior meminta izin untuk melakukan pemeriksaan mengejut ke atas lokar serta beg Zara, sebelum diberitahu mengenai penemuan pin bendera tersebut dalam beg remaja berkenaan.

“Kata saksi, dia tidak memastikan sama ada pin itu sememangnya dijumpai dalam beg Zara Qairina atau tidak… saksi berkata dia membenarkan pelajar junior melakukan pemeriksaan dan saksi mengesahkan berada di bilik ketika ia dilakukan namun tidak memantau ketika pelajar terbabit membuat pemeriksaan itu,” katanya.

Beliau berkata, saksi turut memaklumkan bahawa dia ada menulis sendiri peraturan bilik di bawah jagaannya dan antara peraturan ditetapkan ialah ‘Jangan memaki walaupun selalu dengar orang lain pun memaki’, yang dibuat sebagai peringatan kepada semua penghuni.

Peguam Joan Goh, yang mewakili seorang daripada remaja dikaitkan dalam kes Zara, pula berkata saksi memaklumkan dia tidak memukul Zara dan tidak melihat sesiapa pun berbuat demikian.

Beliau berkata, saksi memaklumkan bahawa pada kira-kira 12.30 tengah malam, dia ada melihat Zara berjalan keluar dari bilik, tetapi tidak tahu ke mana remaja itu pergi.

“Tidak lama selepas itu, semasa saksi mahu keluar dari biliknya untuk ke bilik lain, ada penghuni asrama datang kepada saksi dan memberitahu mereka melihat Zara Qairina berada di dalam tandas aras tiga sedang menangis.

“Kata saksi, dia hanya mendiamkan diri dan meneruskan perjalanan ke bilik itu untuk tidur bersama rakan-rakannya,” kata Goh.

Berkongsi keterangan saksi sama, peguam Azhier Farhan Arisin, yang mewakili empat remaja dalam kes tersebut, berkata saksi memaklumkan dia tidak tahu apa yang terjadi kepada Zara sebelum remaja itu ditemukan tidak sedarkan diri dan hanya dikejutkan daripada tidur pada kira-kira 4 pagi selepas dipanggil seorang guru.

Zara, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu, selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya, pada 4 pagi 16 Julai.

Prosiding inkues bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.