Tak nampak dicederakan, Zara menangis lepas kena marah, kata saksi

Tak nampak dicederakan, Zara menangis lepas kena marah, kata saksi

Saksi memberitahu Mahkamah Koroner pelajar Tingkatan Satu itu bertemu sembilan pelajar senior berkait dakwaan dua kes kecurian dompet.

zara qairina
Susulan perjumpaan bersama sekumpulan pelajar senior pada 15 Julai lalu, Zara Qairina Mahathir, 13, ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran dengan asrama sekolah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang saksi kanak-kanak memberitahu Mahkamah Koroner bahawa dia tidak melihat sebarang tindakan menyentuh atau mencederakan Zara Qairina Mahathir sehari sebelum ditemukan tidak sedarkan diri semasa perjumpaan dengan lima senior di bilik asrama berkait dua kes kecurian dompet.

Peguam Ram Singh, yang mewakili seorang daripada remaja yang terbabit dalam kes buli Zara, berkata saksi memaklumkan perjumpaan tersebut diadakan pada kira-kira 10.20 malam 15 Julai lalu.

Berkongsi keterangan saksi kanak-kanak ke-6 itu selepas prosiding inkues, Ram Singh berkata menurut saksi, dia juga terdengar perbualan mengenai kes kecurian antara Zara dan seorang pelajar senior namun tidak begitu jelas kerana jarak mereka agak jauh.

“Kata saksi, dia turut melihat empat lagi pelajar senior masuk ke dalam bilik berkenaan…selepas itu, saksi dengar suara seseorang bercakap dengan nada kuat seolah-olah memarahi Zara Qairina, tetapi saksi tidak pasti siapa yang bercakap ketika itu.

“Kira-kira 11 malam, Zara Qairina keluar dari bilik dalam keadaan menangis…ia merupakan kali terakhir saksi melihat Zara Qairina pada malam tersebut,” kata Ram Singh menurut Bernama, sambil menambah saksi juga mengesahkan dia tidak mendengar sebarang pergaduhan berlaku antara 11 malam hingga 3 pagi, iaitu dari 15 hingga 16 Julai lalu.

Pada prosiding hari ini, saksi ke-6 itu juga menjelaskan istilah ‘MA’ yang digunakan pelajar merujuk kepada ‘Mesyuarat Asrama’, dan perjumpaan antara pelajar senior dengan Zara pada malam 15 Julai lalu, bukanlah MA.

Selain saksi berkenaan, mahkamah juga mendengar keterangan saksi ke-5, yang juga pelajar di sekolah itu.

Ketika menjelaskan keterangan saksi ke-5, peguam Azhier Farhan Arisin, yang mewakili empat kanak-kanak tertuduh dalam kes buli si mati, berkata saksi memaklumkan bahawa ‘Circle-19’ ialah kumpulan pelajar yang melakukan aktiviti bersama-sama untuk program sekolah, dan bukanlah ‘geng’ atau kumpuan terbabit dalam gengsterisme di asrama.

“Saksi terbabit turut menyatakan kumpulan Circle-19 itu tidak terlibat dalam perjumpaan Zara Qairina dan tidak terlibat mengepung remaja itu pada malam 15 Julai. Saya juga bertanya sama ada kumpulan Circle-19 ini terlibat secara langsung dalam kematian arwah, dan saksi menjawab ‘tidak’,” kata Azhier.

Sementara itu, peguam Shahlan Jufri, yang mewakili ibu Zara ketika menjelaskan keterangan saksi berkenaan, turut berkata saksi memberitahu mahkamah bahawa tabiat pelajar senior memarahi atau menegur secara keras ialah perkara biasa dalam kalangan pelajar asrama.

“Menurut saksi, pelajar junior dianggap perlu melalui pengalaman itu kerana pelajar senior sendiri pernah mengalaminya,” katanya sambil menambah bahawa saksi turut menyifatkan Zara sebagai seorang yang ceria, peramah, dan tidak menunjukkan sebarang tanda masalah mental atau tekanan emosi sebelum kejadian.

Kedua-dua saksi berkenaan telah selesai memberikan keterangan, dan prosiding di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan bersambung esok.

Zara, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran dengan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.

Pada 13 Ogos, AGC mengarahkan agar inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan pihak polis.

Sebelum itu pada 8 Ogos, AGC mengeluarkan perintah agar kubur Zara Qairina digali semula bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.