Kerajaan negeri tiada kuasa halang khutbah raya puji RUU PAS

Kerajaan negeri tiada kuasa halang khutbah raya puji RUU PAS

Penyediaan khutbah yang memuji usul syariah dibawa PAS tiada kaitan politik pihak tertentu, sebaliknya ia usaha untuk memperkasakan undang-undang Islam, kata exco.

Datuk-Dr-Ahmad-Yunus-Hairi.
PETALING JAYA: Isu khutbah raya menyokong rang undang-undang (RUU) syariah PAS yang dibacakan pada pagi Aidilfitri di masjid di Selangor bukan isu politik, kata Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

Malah, katanya khutbah raya itu juga tidak mempunyai kaitan politik pihak tertentu, sebaliknya ia sebagai usaha memperkasakan undang-undang Islam di negara ini.

Katanya, Jawatankuasa Khutbah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkuasa mutlak dalam menyediakan teks ucapan termasuk khutbah raya yang menyokong pembentangan RUU dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.

“Teks khutbah secara prosedurnya melalui tapisan Jawatankuasa Khutbah Jais, tidak timbul dan tiada kawalan daripada kerajaan negeri,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata kerajaan negeri juga tidak mempunyai kuasa penuh untuk menapis kandungan teks yang akan diedarkan kepada masjid seluruh negeri.

“Isu khutbah raya menyokong RUU PAS bukan isu politik, apatah lagi untuk kepentingan politik kepartian.

“Ia batu loncatan kepada pemerkasaan Islam di negara kita terutamanya di Selangor dan dari sudut perundangan syariah dalam menjaga akidah umat Islam menurut ahli sunnah wal jamaah,” katanya.

Adun Sijangkang itu berkata semua pihak terlibat perlu bertanggungjawab membetulkan salah faham yang timbul berhubung niat sebenar pembentangan RUU syariah PAS di Parlimen.

“Saya tidak membebankan Jais untuk memberi penerangan berkaitan RUU tetapi buat masa ini semua yang berkepentingan dalam pemerkasaan Islam perlu memainkan peranan membetulkan manipulasi dan persepsi dimainkan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Rabu lalu, Jais menerusi khutbah Aidilfitri menggesa umat Islam bersyukur dengan pembentangan RUU oleh PAS itu yang berupaya meningkatkan kuasa mahkamah Syariah.

Jais turut mengucapkan terima kasih kepada mahkamah sivil susulan penolakan permohonan semakan kehakiman Sisters In Islam yang mencabar fatwa Selangor melabelkan pertubuhan itu sebagai ‘sesat dan menyeleweng’.

Bagaimanapun, Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengambil langkah berkecuali dengan mengelak daripada mengulas mengenai khutbah raya Jais yang memuji RUU PAS itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.