Sebuah lagi kuil Hindu di Pulau Pinang dirosakkan

Sebuah lagi kuil Hindu di Pulau Pinang dirosakkan

Kerajaan negeri khuatir serangan terhadap rumah ibadat mempunyai corak tertentu, bimbang serangan didorong IS

p-ramasamay-kuil

GEORGE TOWN:
Sebuah lagi kuil Hindu menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab awal hari ini, seraya menjadikan empat rumah ibadat bukan Islam di Pulau Pinang dirosakkan sejak dua bulan lalu.

Timbalan Ketua Menteri II berkata kuil Sri Muneeswarar berhampiran jalan bawah Tunku Kudin, Gelugor ditemui dalam keadan dipecah masuk oleh para sami sekitar 5.30 pagi.

P Ramasamy berkata patung dewa Ganesh, Sivalingam dan Muneeswarar dipercayai dirosakkan dengan objek tajam.

“Ahli jawatankuasa memberitahu anggaran kerosakan yang dialami hampir RM100,000, kerana pihak kuil perlu menjalankan proses pentakdisan sekali lagi selepas patung-patung dipulihkan.

“Soalnya, mengapa empat kuil Hindu di Pulau Pinang dirosakkan dalam masa sesingkat dua bulan?

“Ada kuasa yang mahu menghuru-harakan Pulau Pinang? Apakah serangan diilhamkan IS?” soal Ramasamy ketika dihubungi hari ini.

Ramasamy berkata jeriji besi di kuil berusia 70 tahun itu dibongkarkan sebelum tiga patung itu dirosakkan. Beliau berkata jawatankuasa kuil sudah membuat laporan polis.

Ramasamy menggesa polis menyegerakan siasatan keatas tiga kes pecah masuk kuil sebelum ini, kerana tiada perkembangan terbaharu daripada polis walaupun dua bulan telah berlalu.

Awal Jun lalu, dua kuil Hindu di estet Penanti, Ara Kuda di timur Butterworth dirosakkan. Dua kuil itu dirosakkan selang dua hari.

Pada 2 Julai pula, kuil Dewa Sri Mathuraiveeran di Kampung Sungai Nibong Kechil berhampiran Bayan Lepas mengalami nasib yang sama.

Dua tahun lalu, sebuah kuil Hindu dan kuil Buddha dirosakkan tetapi siasatan polis mendapati ia dilakukan oleh seorang individu tidak waras.

Ketua polis daerah Timur Laut ACAP Mior Faridalathrash Wahid belum memberikan sebarang respon.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.