Bekas menteri boleh, kenapa wanita tidak boleh jadi pemandu Grab?

Bekas menteri boleh, kenapa wanita tidak boleh jadi pemandu Grab?

Perkhidmatan perkongsian kenderaan boleh membantu golongan berpendapatan rendah dan mereka yang tiada kelayakan tinggi mendapat pekerjaan.

PETALING JAYA:
Wanita tidak menghadapi sebarang masalah menjadi pemandu GrabCar walaupun pemandu perkhidmatan perkongsian kenderaan itu menjadi sasaran serangan sejak kebelakangan ini.

Wawa, 31, seorag pemandu GrabCar, berkata beliau perlu sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan dirinya.

“Kami perlu cari rezeki. Kami akan ambil langkah keselamatan tambahan seperti sembunyikan beg tangan daripada pandangan mereka, kadangkala tak kunci pintu kereta ketika memandu (supaya kami boleh larikan diri) jika penumpang serang kami.

“Keluarga saya benarkan saya jadi pemandu GrabCar selagi ia mampu menjana pendapatan, cuma mereka sering risaukan keselamatan saya, tanya kenapa saya pertaruh keselamatan sendiri.

“Jawapan saya sentiasa sama – bekas menteri pun boleh jadi pemandu peribadi, kenapa saya tidak boleh?” katanya merujuk bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Wahid Omar yang pernah menjadi pemandu Uber selama beberapa hari untuk mengumpul derma bagi badan kebajikan.

Wawa berharap perkhidmatan perkongsian kenderaan termasuk GrabCar akan diluluskan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

“Ia membantu orang tiada kelayakan (tinggi) mendapat pekerjaan. Saya beritahu beberapa kawan saya yang pemandu teksi GrabCar tidak perlu kelayakan tinggi dan syukur mereka sekarang ada pendapatan sendiri.

“Ia juga membantu golongan berpendapatan rendah dan keluarga mereka. Untuk tempat yang mempunyai pengangkutan awam terhad, GrabCar amat berguna,” katanya.

Pemandu GrabCar sepenuh masa, Jesy, turut sependapat dengan Wawa kerana ia dapat membayar pinjaman perumahan dan keretanya.

Ibu tunggal beranak dua itu berhasrat menjadi pemandu GrabCar sehingga anaknya berusia 17 tahun tamat pelajaran di universiti.

“Ia amat meletihkan. Tetapi jika tiada perubahan, saya cadang lakukan kerja ini sehingga anak saya tamat pengajian.

“Kadangkala saya kerja dari jam 6 pagi hingga 3 pagi. Ia tentunya satu cabaran kerana industri ini dikuasai lelaki, tetapi ia dapat membayar bil-bil saya. Kami hanya perlu lebih berhati-hati berbanding lelaki,” katanya.

Wanita berusia 40 tahun itu turut menyeru pemandu teksi tidak menimbulkan masalah kerana semua orang hanya mencari rezeki.

“Kamu buat kerja kamu, saya buat kerja saya. Kita tidak perlu ganggu satu sama lain.

“Kadangkala saya berlakon seperti kawan-kawan dengan penumpang saya supaya pemandu teksi tidak perasan. Malah, saya meminta mereka bayar sebelum sampai ke destinasi untuk elak saya dilihat terima bayaran,” katanya.

Seorang lagi pemandu GrabCar, Dhian, berkata suaminya tidak membenarkan beliau membawa penumpang pada sebelah malam bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Keselamatan paling penting. Lagipun saya ada komitmen keluarga, saya perlu jaga keluarga saya pada sebelah malam,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.