Ada pihak iri hati, dengki terhadap Zakir Naik

Ada pihak iri hati, dengki terhadap Zakir Naik

Ada beberapa golongan dan individu menangguk di air keruh bagi mempopularkan diri dan agenda mereka

Firdaus-Wong-Wai-Hung_zakir_600

PETALING JAYA:
Presiden Multiracial Reverted Muslims (MRM), Firdaus Wong Wai Hung menyifatkan tuduhan terhadap pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik berkait dengan serangan pengganas di sebuah kafe di Dhaka, Jumaat lalu sebagai perbuatan ‘iri hati’ dan ‘dengki’.

Firdaus Wong Wai Hung salah seorang protege Zakir berkata tuduhan seperti itu tidak hairan berlaku terhadap orang yang popular seperti Zakir.

“Sudah tentu ada yang iri hari dan dengki dengan populariti Dr Zakir Naik. Maka tidak hairanlah ada golongan dan individu yang cuba menangguk di air keruh bagi mempopularkan diri dan agenda mereka,” katanya kepada FMT.

Firdaus mengulas laporan The Daily mengenai dua pengganas yang terbabit dalam pembunuhan 20 tebusan di Dhaka, Bangladesh sebagai pengikut Zakir dan dua perekrut yang dipercayai anggota kumpulan militan Negara Islam (IS).

Akhbar Bahasa Inggeris Bangladesh itu melapor seorang daripada pengganas itu, Rohan Imtiaz menulis di Facebooknya tahun lalu bahawa Zakir menggesa semua umat Islam untuk menjadi pengganas.

Penceramah bebas itu melawat Malaysia pada April lalu di sebalik pelbagai tentangan daripada beberapa persatuan keagamaan Hindu dan MIC namun, Zakir dibenarkan menyampaikan ceramah dengan syarat topik untuk membandingkan Islam dan Hindu telah diubah.

Kedatangannya disambut baik dan kerajaan negeri Terengganu menganugerahkan beliau sebuah pulau untuk menubuhkan cawangan tempatan atau pusat penyelidikan serantau Asia Tenggara untuk Yayasan Penyelidikan Islam (IRF) yang diterajuinya.

Mengulas lanjut, Firdaus mengajak pihak yang terus menentangnya supaya menyenarai ajaran yang dikatakan tidak baik pernah disampaikan oleh Zakir.

Jelansya, tuduhan itu hanya bertujuan merosakkan reputasi Zakir daripada membongkar kebenaran dalam agama utama dunia.

“Kebatilan tidak akan dapat disembunyikan sebagaimana api tidak dapat dibalut dengan kertas yang pasti membakarnya.
“Mereka berkata Zakir menyebarkan ajaran yang tidak baik, saya minta mereka namakan bahagian mana yang yang tidak baik itu,” katanya.

Semalam, Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) juga mengeluarkan kenyataan bahawa Zakir meracuni fikiran anak-anak muda dengan idea-idea yang membawa kepada keganasan.

Menurut laporan Malay Mail Online, Timbalan Presidennya yang juga Presiden Malaysia Hindu Sangam, Datuk RS Mohan Shan menggesa Putrajaya untuk membatalkan anugerah Maal Hijrah yang diberikan kepada Zakir di samping menghalang beliau daripada menyampaikan ceramah di Malaysia.

Selain itu, NGO hak asasi, Hindraf pula menggesa kerajaan negeri Terengganu membatalkan segera pemberian geran sebuah pulau untuk Zakir.

Pengerusinya, P Waythamoorthy berkata, laporan menyatakan kerajaan India dan Bangladesh akan menyiasat pendakwah itu menyebarkan keganasan membuktikan tanggapan Hindraf terhadap Zakir, betul.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.