Vaksin belum diwajibkan- Dr Subramaniam

Vaksin belum diwajibkan- Dr Subramaniam

Dalam menghadapi isu vaksin, kementerian menjangka cabaran besar dalam menangani tiga kumpulan iaitu kumpulan antivaksin, miskin tegar dan pendatang.

subramaniam-immunisastion

KUALA LUMPUR:
Pengambilan vaksin tidak diwajibkan ketika ini, tetapi terdapat keperluan untuk terus mendidik ibu bapa tentang perlunya mereka memastikan anak masing-masing mendapat suntikan pelalian, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Sambil menegaskan bahawa bukan semua perkara boleh dikuatkuasakan melalui undang-undang, namun, kata beliau, kesedaran tentang kepentingan mendapatkan vaksin bagi mencegah penyakit seperti difteria, rubela dan penyakit lain masih rendah dalam kalangan ibu bapa, khususnya di luar bandar.

“Perkara yang akan difokuskan ialah terus menyedarkan orang ramai bahawa mereka bukan tinggal secara bersendirian di sebuah pulau terpencil dan oleh itu, mereka membahayakan orang lain sekiranya anak mereka tidak diberi vaksin,” katanya kepada pemberita di SJK (T) Ampang di sini hari ini.

Dr Subramaniam berkata dalam menghadapi isu vaksin, beliau menjangka cabaran besar akan dihadapi dalam menangani tiga kumpulan berkenaan iaitu kumpulan antivaksin, miskin tegar dan pendatang.

Ketika menyuarakan kebimbangan beliau tentang penularan penyakit difteria, beliau menyeru ibu bapa supaya lebih bersikap terbuka tentang pemberian vaksin terhadap anak mereka.

Dr Subramaniam berkata Kementerian Kesihatan juga merancang untuk bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi mendidik orang ramai tentang kepentingan mengambil vaksin kerana ia melibatkan keluarga.

“Mungkin ada kes, si ibu mahu anaknya diberi vaksin, tetapi si bapa tidak mahu. Isu ini agak kompleks dan perlu ditangani dengan sewajarnya,” kata beliau.

Setakat ini, 13 kes difteria disahkan di seluruh negara, lima daripadanya melibatkan kematian.

-Bernama

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.