“Setakat ini kami belum menerima panggilan daripada pihak Honda berkenaan insiden tersebut,” kata adik ipar mangsa, Roslinya Latip, kepada FMT.
“Tragedi ini baru berlaku dan keluarga kami sibuk dengan urusan pengebumian dan anak-anak arwah,” katanya lagi.
Pada 26 Jun, ibu tunggal, Norazlin Haron, 44, terkorban selepas terlibat dalam kemalangan kecil dengan sebuah kereta Mercedez Benz dalam perjalanan dari rumahnya di Sri Gombak ke Kota Damansara.
Siasatan polis mendapati letupan alat pengembung beg udara sebagai punca kematian mangsa.
Tiga penumpang, iaitu dua anaknya berusia 9 dan 12 tahun dan anak saudara berusia 22 tahun tidak mengalami apa-apa kecederaan.
Kematian itu adalah yang ke-4 melibatkan beg udara yang dipasang dalam kereta Honda di Malaysia.
Menceritakan hubungan eratnya dengan keluarga mangsa, Roslinya berkata suaminya antara adik yang paling rapat dengan arwah.
“Keluarga kami sangat rapat, selalu berjumpa dan berbual melalui telefon.” kata suri rumah berusia 34 tahun itu lagi.
Semalam, Honda mendakwa kereta mangsa termasuk dalam program pengembalian semula diumumkan pada 21 Mei 2015, bagi menggantikan inflator beg udara di ruang pemandu.
Bagaimanapun Roslinya dalam status Facebook semalam berkata, Honda menetapkan temu janji dengan mangsa untuk menukar beg udara kereta hanya selepas Hari Raya ini.
“Jika sudah terbukti bermasalah bukankah Honda bertanggungjawab mengambil tindakan segera dan lebih serius demi keselamatan semua pengguna. Arwah kakak kami sudah pergi, tetapi tolonglah jangan biarkan insiden ini berulang,” katanya.
Beliau juga berharap Honda akan mengambil iktibar daripada tragedi yang menimpa keluarga mereka untuk menggiatkan lagi kempen penukaran beg udara yang terbukti bermasalah, malah sehingga menyebabkan kehilangan nyawa.
