Aktivis: Bayar terus zakat lebih baik daripada melalui pusat zakat

Aktivis: Bayar terus zakat lebih baik daripada melalui pusat zakat

Sebaliknya, ramai membayar zakat melalui pusat zakat kerana mereka mahu mendapatkan rebat cukai, kata Dr Farouk.

Datuk-Dr-Ahmad-Farouk-Musa

PETALING JAYA:
Umat Islam yang menunaikan kewajipan zakat tanpa melalui pusat zakat tidak boleh dipersalahkan, kerana ia dibuat atas niat mahu memastikan wang itu tidak disalah gunakan, kata aktivis Datuk Dr Ahmad Farouk Musa.

Sebaliknya, beliau berkata ramai memilih membayar zakat melalui badan zakat kerajaan kerana mereka mahu mendapatkan rebat cukai pendapatan.

“Tetapi mereka yang ingin melaksanakan kewajipan agama pasti akan menjauhi institusi yang sedemikian rupa,” katanya kepada FMT, sambil menyeru agar institusi zakat direformasikan.

Beliau mengulas amaran mufti Perak baru-baru ini yang menganggap haram menyalurkan wang zakat terus kepada asnaf (golongan layak terima zakat) tanpa melalui badan zakat yang disediakan.

Tan Sri Harussani Zakaria berkata umat Islam wajib membayar zakat kepada badan khas dipertanggungjawabkan sambil menafikan dakwaan wang zakat disalah gunakan.

“Adalah salah pendapat mendakwa majlis agama menggunakan bahagian-bahagian asnaf itu bagi tujuan lain, sedangkan pegawai menguruskan hal zakat hanya diberi ganjaran gaji melalui bahagian amil,” katanya.

Pendapat Harussani itu dilihat bercanggah dengan Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainul Abidin, yang November lalu berkata tidak salah memberi zakat terus kepada asnaf sekiranya seseorang itu tidak ada kepercayaan terhadap institusi zakat.

Dr Farouk, yang mempengerusikan Islamic Renaissance Front (IRF), bersetuju dengan Asri, dan berkata ia merupakan saranan paling tepat berdasarkan nas dan maslahah.

“Fungsi zakat adalah jelas dan bukan untuk mengumpul harta seperti yang kelihatan dilakukan oleh pihak penguasa. Lantaran itu ramai yang telah hilang kepercayaan terhadap institusi zakat.

“Tambahan pula dengan berbagai cerita tentang betapa susahnya memohon zakat daripada pihak berwajib,” jelasnya.

Beliau turut menyarankan agar institusi zakat di negara ini direformasikan semula, bermula dari peringkat atasan.

“Segala bentuk penyelewengan seperti menggunakan duit zakat untuk kos guaman atau untuk membeli hotel mewah adalah perbuatan yang jauh tersasar daripada matlamat institusi zakat.

“Selama mana institusi ini tidak direformasi, selama itulah rakyat tidak akan percaya,” tegasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.