Brexit: Tiada kesan secara langsung ke atas ekonomi Malaysia

Brexit: Tiada kesan secara langsung ke atas ekonomi Malaysia

Pengelakan risiko akan terus berlaku untuk beberapa waktu kerana pelabur menilai semula kejutan secara tiba-tiba itu kepada prospek ekonomi global.

ForexTime Ltd (FXTM)

KUALA LUMPUR:
Tindakan United Kingdom keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) atau Brexit tidak mempunyai kesan secara langsung ke atas ekonomi Malaysia, tetapi ancaman selalunya mengenai bagaimana pelabur akan memberi reaksi kepada ketidaktentuan global, kata penganalisis.

Naib Presiden Pembangunan Korporat dan Penyelidikan Pasaran ForexTime Ltd (FXTM), Jameel Ahmad berkata, pengelakan risiko akan terus berlaku untuk beberapa waktu kerana pelabur menilai semula kejutan secara tiba-tiba itu kepada prospek ekonomi global.

“Ini bermakna selera risiko akan terus terancam dan ringgit akan terjejas akibat daripada keseluruhan tindakan itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Jameel berkata, peralihan mengejut momentum jualan untuk ringgit menunjukkan betapa cepat permintaan untuk mata wang itu boleh berubah jika terdapat perubahan mengejut kepada pengelakan risiko dalam pasaran.

Kemungkinan UK keluar daripada EU, katanya, telah diberi penilaian terlalu rendah di seluruh dunia kewangan.

“Sebaik sahaja pasaran sedar kepada kenyataan yang mungkin terdapat kesan kepada Brexit, pasaran terus berada dalam keadaan panik sepenuhnya,” katanya dengan menambah pengelakan risiko mungkin berterusan untuk beberapa ketika.

– BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.