Kuda terlepas selamat pulang ke pangkuan pemilik

Kuda terlepas selamat pulang ke pangkuan pemilik

Michael dijual secara terbuka di Internet pada harga RM3,000.

michael
PETALING JAYA: Kuda yang dikesan berlari di tengah bandar Kota Bharu pada hujung minggu lalu akhirnya pulang ke pangkuan pemilik asalnya.

Kuda yang “Michael” hilang selama lima hari itu pulang selepas RM100 dibayar kepada seorang penjual.

Sin Chew Daily memetik Wan Hanif Wan Mohd Noor, 25, sebagai berkata wang itu adalah kos makanan untuk Michael dan ia dibawa pulang dari rumah penjual terbabit di Kampung Gong Dermin pada jam 3 petang kelmarin.

“Michael meringkik sambil menaikkan kedua-dua kaki hadapannya, petanda ia gembira melihat kehadiran saya,” katanya yang menambah penjual terbabit menyerahkan kuda itu kepadanya selepas melihat reaksi Michael.

Jelasnya, penjual terbabit membeli Michael daripada penangkap kuda itu menerusi Internet pada harga RM1,500.

“Kawan beritahu saya Michael dijual secara terbuka di Internet pada harga RM3,000,” katanya.

Bagaimanapun, penjual itu tidak meminta RM1,500 daripadanya selepas mendapat tahu abangnya adalah pemilik asal kuda berkenaan.

“Penjual itu beritahu dia akan minta balik wang RM1,500 daripada penangkap Michael. Tetapi saya tidak tahu sama ada dia sudah dapat balik wangnya,” kata Wan Hanif yang memaklumkan Michael kini dalam keadaan sihat dan kandangnya juga siap dibaiki.

Abang Wan Hanif, Wan Mohd Eddie Sham, 39, membeli kuda bernama “Michael” itu pada harga RM4,000 kira-kira setahun lalu dan ia didapati hilang dari kandang di Gertak Kecupu, Binjai pada jam 4 pagi Khamis minggu lalu.

Ahad lalu, seorang pengguna Facebook, Adli Alimin memuat naik dua rakaman video selama 8 saat dan 29 saat ke Facebooknya menunjukkan seekor kuda berwarna coklat gelap dilihat berlari dari Pasir Pekan di Wakaf Bharu ke Kubang Kerian tanpa menghiraukan pengguna jalan raya lain.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.