“Ia (rasuah) sudah jadi perkara biasa,” tulis bekas perdana menteri itu dalam catatan terbaru blognya.
“Dalam PRU dan PRK pengundi menanti, suapan yang terbesar menentukan siapa yang memerintah.
“Ini bermakna pemerintahan yang akan didirikan hasil PRU ialah pemerintahan rasuah.”
Dr Mahathir berkata rasuah merupakan masalah lama di Malaysia dan berlaku sejak zaman penjajahan British yang cuba membeli sokongan raja-raja Melayu ketika itu.
“British menggunakan pendekatan ini untuk menjajah negeri-negeri Melayu. Tetapi setelah menjajah, pentadbiran British mengawal rasuah di kalangan anggota pentadbiran.
“Tahap makan suap tidaklah terlalu tinggi sehingga menjejas pentadbiran wilayah yang dijajah mereka,” katanya.
Beliau berkata rasuah semakin berleluasa apabila negara semakin kaya, dan turut diamalkan parti pemerintah di mana jawatan dibeli.
“Dalam keadaan inilah datang pemimpin yang percaya wang boleh menjayakan segala-galanya. Slogan yang dipercayai dan diamal ialah ‘Cash is King’,” kata Dr Mahathir, menggunakan ungkapan yang sering dikaitkan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Cash yang boleh berlagak sebagai ‘King’ tentulah besar,” tulisnya.
Menurutnya, rasuah yang berlaku kini bukan lagi “di bawah meja”, dan diamalkan tanpa perasaan takut didakwa di mahkamah kerana “Badan Pencegah Rasuah dikuasai oleh perasuah”.
“Rasuah bukan sahaja menaikkan kos segala-galanya tetapi juga mengganggu dan melewatkan pengurusan. Negara di mana rasuah berleluasa sukar dibangunkan dan dimajukan. Rakyat akan menderita kerana sebahagian dari kos sara hidup ditelan oleh suapan rasuah.
“Bisnes menghadapi keadaan kos yang tidak menentu yang merugikan. Pelabur dari dalam dan luar tidak berminat untuk melabur dan ini mengurangkan peluang pekerjaan dan menjejaskan pembangunan ekonomi.”