Ketua menteri Pulau Pinang itu menjawab kenyataan Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang mengingatkan Hock Seng supaya jangan tarik diri di saat akhir.
“Kamu (Reezal) seorang timbalan menteri dari Pulau Pinang. Kita orang Pulau Pinang, kita pemberani, seperti kamu.
“Jadi, Hock Seng tidak akan lari. Dia bukan Rahman Dahlan. Dia lebih berani daripada Rahman.
“Hock Seng akan tunggu pihak lawan dan tidak akan pergi ke luar negara atau menyorok di luar negara atau guna ketua polis negara untuk lari daripada debat,” kata Guan Eng pada sidang media di Komtar hari ini.
Guan Eng turut mengalu-alukan Reezal hadir ke debat itu nanti.
Setiausaha Agung Gerakan, Liang Teck Ming mahu menganjurkan debat dengan Hock Seng berkenaan terowong dasar laut Pulau Pinang. Mereka dijangka berentap pada 28 Jun depan.
Rahman sebelum ini mahu berdebat dengan Guan Eng berkenaan isu tanah Taman Manggis, tetapi diminta tidak berbuat demikian atas nasihat Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Sementara itu, Guan Eng mempertahankan dakwaan Hock Seng tidak kenal Teck Ming, sepertimana rakyat Pulau Pinang yang kebanyakannya tidak mengenali Teck Ming.
“Jangan salahkan Hock Seng. Jangan sakit hati atau salah faham, kerana ramai orang di Pulau Pinang tidak kenal Teck Ming,” kata Guan Eng.
