Lagi syarikat penerbangan tidak bayar gaji pekerja

Lagi syarikat penerbangan tidak bayar gaji pekerja

Sekurang-kurangnya tiga bulan gaji tertunggak sejak Mac dan tunggakan itu turut melibatkan elaun juruterbang dan kru kabin.

aeroplane-crew

PETALING JAYA:
Sebuah lagi syarikat penerbangan dikesan berhadapan isu gagal membayar gaji pekerja!

Selepas isu penerbangan patuh syariah pertama negara, Rayani Air yang tidak membayar gaji 400 orang pekerjanya, kini satu lagi syarikat penerbangan didakwa berbuat sama terhadap 300 orang pekerjanya.

Keadaan yang dihadapi syarikat penerbangan carter tempatan yang memberi perkhidmatan di luar negara itu dikatakan telah memberi kesan mendalam kepada pekerja beragama Islam menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri kali ini.

Menurut laporan MStar Online, sekurang-kurangnya tiga bulan gaji tertunggak sejak Mac dan tunggakan itu turut melibatkan elaun juruterbang dan kru kabin.

Laporan yang sama memetik sumber berkata bahawa, pihak pengurusan penerbangan itu banyak berdolak-dalih apabila ditanya tentang gaji.

“Mereka minta kami bersabar dan menjanjikan macam-macam, ada yang kata gaji akan dibayar pada sekian-sekian tarikh. Tetapi janji hanya tinggal janji dan hingga kini gaji masih tak dibayar.

“Selepas didesak beberapa kali, pihak pengurusan akhirnya terpaksa menjelaskan tunggakan itu disebabkan masalah kewangan,” kata sumber yang enggan dikenali itu.

Ekoran tuntutan gaji tertunggak, bahagian sumber manusia syarikat penerbangan secara emel menyatakan ‘sebahagian bayaran dan pendahuluan’ akan dipertimbangkan kepada sejumlah kakitangan yang menguhubungi mereka dua minggu yang lalu.

Menurut laporan itu lagi, syarikat tersebut berkata, ‘permintaan’ itu akan dinilai berdasarkan kes demi kes, dan pekerja akan dimaklumkan sebaik sahaja sejumlah bayaran disalurkan kepada mereka.

“Syarikat akan membayar gaji anda, dan bukannya jumlah yang anda kehendaki, sekiranya kita mempunyai keupayaan untuk berbuat demikian,” katanya.

Walau bagaimanapun turut diakui bahawa segelintir pekerja telah mendapat ‘sebahagian’ bayaran, bergantung kepada desakan dalam membuat tuntutan, selain atas faktor berkepentingan, bagi memastikan operasi penerbangan berjalan lancar.

“Kami menuntut pihak pengurusan melunaskan tunggakan gaji kerana kami mempunyai keluarga dan komitmen lain yang perlu ditanggung,” katanya mengenai tuntutan sebelum mempertimbangkan untuk tindakan undang-undang.

Terdahulu, syarikat penerbangan Rayani Air turut berhadapan isu sama apabila gagal melunaskan tunggakan gaji kira-kira 400 kakitangan berjumlah jutaan ringgit, selain berdepan masalah operasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.