Eaglexpress: Kami bayar gaji walau ada masalah kewangan

Eaglexpress: Kami bayar gaji walau ada masalah kewangan

Seorang jurucakap Eaglexpress mengakui syarikat itu tidak membayar gaji penuh pekerja sejak dua bulan lalu.

 

eagleexpress-1

PETALING JAYA:
Syarikat Eaglexpress Air Charter Sdn Bhd (Eaglexpress) menafikan dakwaan tidak membayar gaji pekerja sejak tiga bulan lalu.

Sebaliknya, seorang jurucakapnya menegaskan, syarikat itu menggunakan simpanan mereka untuk membayar gaji pekerja dan “pihak-pihak” lain meskipun tidak mempunyai sebarang perniagaan sejak awal tahun ini.

“Gaji dua bulan lepas kami tidak bayar penuh. Sebaliknya, kami bayar beberapa bentuk elaun kepada mereka yang membuat permintaan itu,” katanya sambil menambah ia termasuk mereka yang berada di peringkat pengurusan atasan.

Terdahulu, The Star Online memetik satu sumber mendakwa 300 pekerja sebuah syarikat penerbangan sewa khas tidak dibayar gaji selama tiga bulan.

Menurut jurucakap Eaglexpress, syarikat itu kehilangan punca pendapatan buat sementara kerana tidak dibenarkan membawa jemaah ke Mekah tanpa sijil IATA Audit Keselamatan Operasi (IOSA).

“Perniagaan utama kami terikat dengan Arab Saudi Airlines (Saudia) dan tanpa IOSA, kami tidak boleh beroperasi bagi pihak mereka,” katanya.

Beliau menyuarakan keyakinan syarikat itu akan kembali beroperasi sepenuhnya selepas memperoleh sijil IOSA baru-baru ini.

“Kini, perniagaan telah kembali kepada kami. Hanya kami dan Malaysia Airlines Berhad (MAB) yang mengendalikan program Haji. Tetapi kami kini adalah pengendali utama untuk Saudia dan Saudi National Airlines (NAS).

“Seramai 126 orang akan ditempatkan di Jeddah minggu ini dan sebaik sahaja perniagaan bermula, tiada lagi isu yang akan timbul,” katanya merujuk kepada masalah kewangan mereka.

Beliau berjanji pekerja akan mendapat bayaran gaji penuh tidak lama lagi.

“Pekerja amat penting kepada kami. Kami jaga pekerja,” katanya.

Satu lagi sumber yang rapat dengan syarikat itu mendakwa kira-kira 300 anak kapal belum mendapat gaji dan manfaat-manfaat mereka sejak Mac tahun ini.

“Kami tidak bercakap mengenai gaji sebulan tetapi beberapa bulan.

“Gaji kami untuk Mac, April dan Mei belum dibayar penuh. Kami telah hantar e-mel demi e-mel kepada pihak pengurusan,” kata sumber itu.

Menurut satu e-mel dalaman yang dihantar kepada pekerja, pihak pengurusan memaklumkan pekerja boleh memohon bayaran sebahagian gaji mereka yang akan dinilai berdasarkan kes berasingan.

E-mel itu turut menyatakan syarikat itu akan membayar gaji pekerja, tetapi bukan sepenuhnya, dan mengikut kemampuan syarikat.

Selain tunggakan gaji, syarikat itu juga didakwa turut menyekat manfaat-manfaat pekerja seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkeso selama beberapa bulan.

“Pembayaran KWSP dipotong daripada gaji kami tetapi tidak dimasukkan ke dalam akaun kami. Siasatan berterusan sedang dijalankan KWSP dengan meminta semua slip bayaran daripada syarikat,” kata sumber itu yang memaklumkan laporan telah difailkan kepada KWSP.

Beliau mendakwa, ada dalam kalangan anak-anak kapal yang berdepan masalah kewangan serius.

“Kawan saya terpaksa jual keretanya untuk menyara dirinya,” dakwanya.

Eaglexpress adalah syarikat penerbangan kedua yang dilanda masalah kewangan selepas Rayani Air.

Pada 13 Jun lalu, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mengumumkan pembatalan lesen perkhidmatan udara (ASL) Rayani Air kerana melanggar syarat ditetapkan lesen tersebut di samping kedudukan kewangan dan komersial yang lemah untuk terus beroperasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.