Najib: Mereka menolak pembohongan Dr M

Najib: Mereka menolak pembohongan Dr M

Najib tidak membuang masa mensasarkan serangannya ke atas Dr Mahathir, sambil berkata "Idi Amin Malaysia lebih popular".

najib-mahathir-pru

KUALA LUMPUR:
Beberapa jam selepas kemenangan selesa Barisan Nasional (BN) di Kuala Kangsar dan Sungai Besar, Datuk Seri Najib Razak melancarkan serangan tajam ke atas Tun Dr Mahathir Mohamad, mengatakan rakyat menolak semua dakwaan bekas perdana menteri itu.

“Kini dengan dua kemenangan majoriti besar, dan kemenangan BN 72 daripada 82 kerus di Sarawak bulan lalu, rakyat menunjukkan keyakinan dan kepercayaan mereka terhadap BN.

“Mereka menolak pembohongan Tun Mahathir, mereka menolak kerjasama di antara bekas musuh, dan mereka menolak pembangkang yang tidak keruan, sebahagiannya kerana mereka bersekutu dengan Tun Mahathir,” kata Najib dalam kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri semalam.

Sebelum itu, berucap di Sungai Besar semalam, Najib tidak membuang masa mensasarkan serangannya ke atas Dr Mahathir.

“Dia (Mahathir) panggil saya Idi Amin Malaysia.

“Idi Amin Malaysia lebih popular,” katanya, merujuk bekas diktator Uganda pada 1970-an yang terkenal dengan rasuah dan pembunuhan.

Sebelum ini, berucap di Kuala Kangsar, Dr Mahathir melabel Najib sebagai “Idi Amin Malaysia” kerana menyekat suara rakyat.

“Idi Amin Malaysia ini memalukan kita,” kata bekas perdana menteri itu yang secara terbuka berkempen untuk calon Amanah di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Dr Mahathir juga berkata PRK tersebut merupakan referendum ke atas Najib yang berdepan dakwaan salah laku kuasa berkait dengan syarikat milik negara 1MDB.

Keputusan PRK semalam menunjukkan majoriti BN di kedua-dua kerusi Parlimen melonjak berkali ganda, iaitu dari 1,082 pada 2013 kepada 6,969 di Kuala Kangsar, dan dari 399 kepada 9,191 di Sungai Besar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.