Anak sulung Mastura, Wan Emir Astar menyifatkan tempoh berkempen hampir dua minggu mewakili ibunya adalah pengalaman penuh istimewa dan bermakna buat keluarga mereka.
Beliau berkata, mereka yang akan meneruskan kerjaya masing-masing tetap akan membantu ibunya untuk memikul tanggungjawab baru itu.
“Kami akan berbincang (sesama adik-beradik), tetapi sebagai anak tentulah kami akan berbakti kepada ibu buat selamanya.
“Islam sendiri menyebut ibu perlu diutamakan, malah sebanyak tiga kali kemudian barulah bapa, apatah lagi kini bapa sudah tiada,” katanya selepas pengumuman kemenangan ibunya malam tadi.
Kemenangan besar ini lebih bermakna apabila Mastura yang tidak dapat berkempen kerana menjalani tempoh iddah, diwakili empat anaknya, iaitu Wan Emir Astar, Wan Imar Izzat, Wan Iskandar dan Wan Muhammad Ammar.
Sementara itu, Mastura bertekad meneruskan amanah yang ditinggalkan arwah suaminya.
“Saya ingin menyatakan penghargaan khas untuk semua orang Kuala yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk menjadi wakil mereka di Parlimen.
“Akan saya balas dengan iltizam merealisasikan lima agenda yang telah dikemukakan. Amanah yang diberi ini akan saya cuba laksanakan sepenuh daya,” katanya yang terharu dengan kemenangan itu dalam sidang media di kediamannya malam ini.
Beliau berjaya menewaskan calon Amanah, Dr Ahmad Termizi Ramli; Dr Najihatussalehah Ahmad (PAS) dan Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas) dengan majoriti 6,969 undi yang jauh lebih tinggi berbanding Pilihan Raya Umum lalu.
Mastura mendapat 12,653 undi, manakala Najihatussalehah pula meraih 5,684 undi, Ahmad Termizi (4,883 undi) dan Izat Bukhary (54 undi).
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemenangan besar itu adalah bukti jelas keyakinan rakyat terhadap BN.
“Rakyat Kuala Kangsar masih memerlukan pembangunan yang bakal direalisasikan dan tentunya pembangunan ini hanya boleh dibawa oleh BN,” katanya dalam sidang media selepas pengumuman kemenangan Mastura di Dewan Jubli Perak.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera dan kepimpinan BN yang berkempen sepanjang dua minggu lalu.
Allahyarham Wan Mohammad Khair-il Anuar terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu bersama penyandang kerusi Parlimen Sungai Besar, Tan Sri Noriah Kasnon yang menyebabkan PRK perlu diadakan bagi kedua-dua kawasan Parlimen itu.