Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, walaupun PRK itu semata-mata untuk pengundi di kedua-dua kawasan terbabit memilih wakil rakyat mereka, pembangkang dan kumpulan yang menentang Najib menjadikan PRK itu sebagai pungutan suara dengan meminta pengundi menyatakan sama ada mereka masih mahukan Najib menjadi Perdana Menteri.
“Itu adalah mesej mudah yang pembangkang dan kumpulan anti-Najib hantar kepada pengundi di Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Dan pengundi menghantar balik mesej kepada pembangkang dan kumpulan anti-Najib dengan mengundi BN.
“Dan mesej yang lebih jelas ialah kali ini pengundi memberi BN majoriti lebih besar berbanding 2013,” katanya dalam catatan blog beliau http: //sskeruak.blogspot.my/.
Salleh berkata, BN terlibat dalam pertandingan tiga penjuru, namun perpecahan undi tidak menjejaskan prestasi BN apabila ia menang dengan peratusan undi lebih besar berbanding PRU13, menjadikan ia kemenangan berganda di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
“Pada PRU 2013, majoriti yang dimenangi oleh calon BN di Kuala Kangsar cuma kira-kira 2% (51% berbanding 49%) manakala di Sungai Besar ia hanya kira-kira 1% (50.5% berbanding 49.5%),” katanya.
Kerusi Parlimen Kuala Kangsar dimenangi Datin Mastura Mohd Yazid, isteri kepada Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei, dengan majoriti lebih besar.
Sementara itu, Budiman Mohd Zohdi yang juga Adun Sungai Panjang mengekalkan kerusi Sungai Besar yang sebelum ini disandang Allahyarham Tan Sri Noriah Kasnon yang juga terkorban dalam nahas helikopter itu juga dengan majoriti lebih besar.
Mastura memperoleh 12,653 undi untuk menang dengan majoriti 6,969 undi bagi mencatat prestasi lebih baik yang diperoleh oleh arwah suaminya yang meraih majoriti 1,082 undi.
Mastura menewaskan calon PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad yang mendapat 5,684 undi dan calon Amanah, Dr Ahmad Termizi Ramli yang meraihi 4,883 undi serta calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary yang kehilangan wang deposit kerana sekadar meraih 54 undi.
Sementara itu, Budiman mengatasi dua pencabarnya dengan memperoleh 16,800 undi untuk menang dengan majoriti 9,191 undi berbanding majoriti tipis 399 undi yang diperoleh Noriah pada PRU13.
Calon Amanah, Azhar Abdul Shukur yang juga Pengerusi Amanah Sungai Besar mendapat 7,609 undi, sementara Dr Abdul Rani Osman yang juga Adun Meru daripada PAS meraih 6,902 undi.
– BERNAMA
