BN kekal di Kuala Kangsar, Sg Besar, majoriti lebih besar

BN kekal di Kuala Kangsar, Sg Besar, majoriti lebih besar

BN kekal di kedua-dua kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar menewaskan PAS dan Amanah.

mastura_budiman-mohd_vote_600

PETALING JAYA:
Calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid berjaya memenangi kerusi Parlimen Kuala Kangsar yang disandang arwah suaminya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dengan majoriti lebih besar, iaitu 6,969 undi.

Begitu juga di Sungai Besar, di mana BN yang diwakili Budiman Mohd Zohdi mendapat majoriti lebih besar iaitu 9,191 undi.

Parti serpihan PAS, Amanah juga membuat kejutan apabila menduduki tempat kedua di Sungai Besar walaupun sebelum ini dilihat sebagai “underdog” dalam kedua-dua PRK itu.

Di Kuala Kangsar, Mastura meraih 12,653 undi, meninggalkan PAS dan Amanah; manakala di Sungai Besar, Budiman menerima 18,600 undi mengetepikan calon Amanah dan PAS.

Calon Bebas di Kuala Kangsar sekadar mendapat 54 undi sekaligus menyaksikan wang depositnya sebanyak RM10,000 melayang.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, Allahyarhamah Tan Sri Noriah Kasnon yang mendapat 18,695 undi menewaskan calon PAS, Mohamed Salleh M Husin yang memperolehi 18,296 undi dengan majoriti tipis 399 undi.

Manakala Allahyarham Wan Mohammad Khair-il Anuar memenangi PRU13 di Kuala Kangsar dengan majoriti 1,082 undi, selepas meraih 14,218 undi berbanding calon PAS, Khalil Idham Lim Abdullah (13,136 undi) dan calon Bebas, Kamilia Ibrahim (447 undi).

Seramai 71% pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab mereka di Kuala Kangsar dan 74% di Sungai Besar bagaimanapun lebih rendah daripada sasaran Suruhanjaya Pilihan Raya sebanyak 75%.

Mastura dicabar calon PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad; calon Amanah, Prof Dr Ahmad Termizi Ramli dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Di Sungai Besar pula, Budiman ditentang Dr Abdul Rani Osman (PAS) dan Azhar Abdul Shukur (Amanah).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.