Di sebalik fakta bahawa beliau bukan beragama Islam dan mengamalkan amalan berpuasa dua tahun berturut-turut, Mark memberikan sokongannya terhadap inisiatif ‘Give 30’ yang bertujuan untuk mengembalikan wang yang dijimatkan sewaktu berpuasa kepada mereka yang memerlukan.
Dalam satu sesi ucapan di Parlimen pada 3 Jun lalu, Mark menjelaskan tentang usaha tersebut sekali gus berkongsi pengalamannya berpuasa dan ucapan Ramadan al-Mubarak.
“Tuan Speaker, minggu depan beratus ribu rakyat Kanada akan menyambut Ramadan. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Ramadan Mubarak kepada semua yang menyambutnya.
“Tahun lepas, saya berpeluang untuk berpuasa sepanjang Ramadan. Ia adalah amalan yang saya lakukan untuk menyokong gerakan amal ‘Give 30’. Wang untuk belanja makan yang dijimatkan sepanjang bulan ini diberikan kepada mereka yang lebih memerlukan, terutamanya bank makanan,” katanya.
Kata-kata beliau bukan saja mendapat tepukan gemuruh ahli Parlimen lain malah sokongan para netizen dari seluruh dunia yang turut menonton video tersebut.
“Apabila saya berpuasa, ia satu pengalaman yang luar biasa untuk merasa kelaparan itu sendiri. Sudah tentu saya berpeluang makan pada penghujung hari, tetapi bagi ramai kanak-kanak termasuk di Kanada dan di seluruh dunia, peluang itu tidak pernah dicapai.
“Mereka perlu berbuat demikian sepanjang hari dan belajar serta menahan lapar sepanjang masa untuk masa depan mereka yang tanpa bantuan makanan,” katanya.
Justeru, Mark menyeru supaya amalan itu memberi peluang kepada semua untuk berfikir dan menggunakan nikmat Ramadan bagi membantu orang lain.
