PRU13 ajar BN cakna perasaan pengundi Cina – Annuar

PRU13 ajar BN cakna perasaan pengundi Cina – Annuar

Annuar berkata, berdasarkan pengalamannya, pengundi Cina pragmatik dalam memilih parti.

Annuar-Musa_bn_sungai-besar_600

SUNGAI BESAR:
Keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 menjadi pengajaran buat Umno-BN supaya prihatin akan perasaan pengundi Cina dalam pilihan raya kali ini dan mendatang.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata Umno-BN memerlukan sokongan pengundi Cina untuk memenangi pilihan raya.

“Kita tersedar betapa pentingnya fikirkan perasaan pengundi Cina. Sekiranya kita dapat undi yang sikit daripada pengundi Cina, kita tidak seharusnya mengalah,” katanya dalam sidang media di Pusat Media Sungai Besar hari ini.

“Yang lepas kita jadikan iktibar, hormati suara rakyat. Kali ini kena jelaskan dan berterus-terang dan tetap hendak merayu, memohon sokongan sahabat-sahabat Cina.

Annuar dalam ucapannya mengharapkan sikap pragmatik pengundi Cina untuk memenangkan calon BN.

“Saya optimis dan saya hendak merayu pada pengundi Cina di Kuala Kangsar dan Sungai Besar berilah mandat pada Mastura Mohd Yazid dan Budiman Mohd Zohdi kerana saya yakin mereka boleh dokong aspirasi anda,” katanya.

Pada PRU13 yang lalu, BN berjaya mengekalkan status quo tetapi gagal mencapai majoriti dua pertiga kerana sekadar memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan manakala baki 89 kerusi lagi jatuh kepada Pakatan Rakyat.

Walaupun berjaya merampas Kedah daripada parti pembangkang, namun BN tumpas di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, keputusan PRU13 sememangnya menampakkan berlaku ‘tsunami kaum Cina’ yang menyaksikan mereka lebih cenderung menyokong pembangkang.

PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar akan berlangsung Sabtu ini.

Parlimen Sungai Besar mempunyai jumlah daftar pemilih seramai 42,836 orang yang terdiri daripada 67.1% Melayu; Cina (30.68%) dan India (1.91%).

Manakala Parlimen Kuala Kangsar pula mempunyai 32,949 pengundi berdaftar yang merangkumi 22,496 Melayu, Cina (7,757), India (2,287), Bumiputera Sarawak (16), Bumiputera Sabah (13) dan Orang Asli (330).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.