Beliau berkata, kertas siasatan sudah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan ekoran ugutan jenayah.
“Kami akan memanggil Rafizi untuk memberikan keterangan,” katanya pada sidang media hari ini.
Sekumpulan empat individu membuat laporan polis terhadap Rafizi yang didakwa mengugut untuk ‘mengebom Parlimen’ dalam satu ceramahnya.
Menurut laporan polis itu, Rafizi berkata ‘mahu meletakkan bom kasi hancur Najib kalau calon Amanah menang di Kuala Kangsar’, dalam satu ceramah di Manong, 9 Jun lalu.
Ucapan Rafizi itu dipercayai merujuk kepada calon AMANAH, Dr Ahmad Termizi Ramli yang berkhidmat sebagai pensyarah fizik nuklear di Universiti Teknologi Malaysia sebelum bersara.
Rafizi dalam responsnya semalam hanya menganggap laporan itu sebagai jenaka dan berharap polis tidak memandang serius kenyataannya yang dibuat secara perumpamaan itu.
Mengulas lanjut, Rahim menasihati parti bertanding agar tidak membuat kenyataan seumpama itu walaupun ‘secara jenaka’.
“Kalau dia bergurau sekalipun, ia tetap satu ugutan dan kita akan siasat.
“Saya nasihatkan parti yang bertanding dan penceramah di Parlimen Kuala Kangsar tidak membuat provokasi, (membangkitkan) isu perkauman dan agama yang boleh menggugat keamanan,” katanya.
Beliau berkata polis setakat ini menerima 16 laporan dan membuka 6 kertas siasatan.
“Saya melalui 7 PRU dan 5 PRK, saya dapati PRK Kuala Kangsar ini amat baik, terbaik bagi saya,” katanya.
