Ridhuan: Suka hati Melayu nak jadi Arab

Ridhuan: Suka hati Melayu nak jadi Arab

Ridhuan sekali lagi mengajak PAS dan Umno bersatu membenamkan apa yang dipanggilnya golongan 'ultra-kiasu'.

ridhuan-tee

PETALING JAYA:
Pensyarah kontroversi Dr Ridhuan Tee Abdullah hari ini menjawab kebimbangan sesetengah pihak terhadap penularan budaya Arab di kalangan masyarakat Melayu di Malaysia, dengan memberi amaran kepada bukan Islam untuk tidak mencampuri hal ehwal umat Islam.

“Bila ada orang Melayu berpakaian ala Arab, ultra kiasu berkata ini Arabisasi. Apakah cenderung kepada budaya Arab itu satu kehinaan?

“Ingat! kita ada Raja-Raja berketurunan Arab. Sebenarnya ultra kiasu mahukan Melayu jadi apa?” tulisnya dalam kolum di Sinar Harian.

Baru-baru ini, aktivis masyarakat Datin Paduka Marina Mahathir berkata budaya Arab yang semakin menular di Malaysia merupakan “bentuk penjajahan baharu”.

“Ia merupakan isu besar kerana ia bukan sahaja isu pakaian, tetapi juga mentaliti,” kata Marina ditemuramah majalah Southeast Asia Globe.

Dalam tulisannya hari ini, Ridhuan berkata golongan ulta-kiasu, nama yang sering diberikannya terhadap bukan Islam yang pro-pembangkang, merupakan “parasit” yang perlu “dibenamkan” pada Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang akan diadakan Sabtu ini.

“Inilah tindakan yang perlu dilakukan oleh umat Islam dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar tidak lama lagi.

“Jangan biarkan kemenangan berpihak kepada PAN dan PH kerana ini akan menjadi mereka semakin bongkak,” katanya merujuk AMANAH dan Pakatan Harapan.

Ridhuan turut berkata setiap lapisan umat Islam termasuk dari Sarawak perlu menyokong rang undang-undang (RUU) persendirian hudud yang dibentangkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bulan lepas.

Baginya, RUU itu tidak boleh dipersoalkan bukan Islam seperti mana cara hidup mereka tidak dicampuri umat Islam.

“Kita tidak pernah menyekat ultra kiasu mahu hidup mengikut cara apa? Hatta, memakai pakaian sesingkat dan sependek-pendeknya. Kenapa bila tiba bab berkaitan kehidupan orang Islam mesti ditentang?” soal beliau.

Ridhuan menuduh golongan yang dinamakannya ultra kiasu itu didalangi “Kristian Evengelis” dan semakin berani, dan memberi contoh gabenor Jakarta berbangsa Cina, Basuki Thahaja Purnama atau Ahok yang katanya melarang pemakaian tudung.

Ridhuan kemudian memberikan nasihat kepada PAS dan Umno:

“Kepada Pas dan Umno saya merayu. Pertama, hadamkan politik matang itu apa? Kenali siapa sebenar musuh kita? Negara ini mesti diselamatkan daripada perancangan busuk ultra kiasu.

“Jika ultra kiasu merancang untuk membenam kita, apakah kita perlu berdiam diri dan terus bersangka baik?”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.