Kes kematian menantu TPM, polis selesai ambil keterangan saksi

Kes kematian menantu TPM, polis selesai ambil keterangan saksi

Beliau juga enggan mengulas lanjut berkenaan isu itu kerana menganggap adalah terlalu awal untuk pihaknya memberikan komen kerana masih menunggu laporan daripada pakar.

Syed-Alman-Zain-Syed-Alwi

PETALING JAYA:
Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menunggu keterangan pakar berhubung kes kematian menantu timbalan perdana menteri, Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi ketika mendapat rawatan gigi di sebuah klinik swasta di Bangsar, bulan lepas.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata pihaknya sudah mengambil keterangan saksi bagaimanapun menunggu keterangan pakar dari Kementerian Kesihatan sebelum menghantar laporan penuh kepada pejabat Peguam Negara.

“Dari segi keterangan saksi, kita telah selesai dan kini menunggu keterangan pakar sahaja. Pengumuman mengenai laporan penuh terpulang kepada laporan pakar kerana saya ingat laporan ini akan ambil masa sedikit dan kita tunggu. Saya tidak pasti itu pihak hospital punya kerja,” katanya, lapor Bernama.

Beliau juga enggan mengulas lanjut berkenaan isu itu kerana menganggap adalah terlalu awal untuk pihaknya memberikan komen kerana masih menunggu laporan daripada pakar.

Sebelum ini, polis telah mengambil keterangan 11 individu termasuk dua doktor gigi yang merawat Syed Alman.

Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri S. Subramaniam mengesahkan pihaknya telah menyelesaikan siasatan berhubung kematian Syed Alman.

Dalam satu lagi isu berlainan, Noor Rashid berkata pihaknya telah mengesan dua daripada 23 kanak-kanak di negara ini yang menjadi mangsa kepada pesalah pedofilia warga Britain, Richard Huckle.

Buat masa ini, kedua-dua kanak-kanak itu dalam proses ditawarkan bantuan khidmat kaunseling dan sekiranya keadaan mangsa
stabil, pihaknya akan merekodkan keterangan.

“Dua kanak-kanak telah dikenal pasti dan selebihnya masih dikesan yang dipercayai berada sekitar Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.