Bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz dalam rancangan bual bicara santai ‘Obviously Harith Iskander (OHI)’ semalam berkata manipulasi yang dilakukan oleh sesetengah pihak dalam isu hukum hudud akan hanya mewujudkan ketidaktenteraman dalam kalangan masyarakat.
“Saya rasa jika kita kita tahu pegangan agama kita yang mana bukannya (fikir) potong tangan, kepala, dan sebagainya, saya rasa kita akan memahaminya.
“Saya baca banyak perkara mengenai hudud, orang bercakap mengenai hudud dalam cara yang positif, ada yang kata: “Ia (hudud) bukan semata-mata potong tangan, ia berkaitan dengan banyak perkara yang perlu dilihat,” katanya, lapor Astro Awani.
Sambung Rafidah lagi, percubaan menakut-nakutkan orang ramai berkenaan hudud dan berfikiran ektrem hanya sia-sia.
“Kenapa mesti perlu terlalu ekstrim dan menakut-nakutkan semua orang? Sebagai orang Islam, jika iman kita kuat, saya rasa kita tidak perlukan undang-undang yang sudah lapuk,” tegas beliau.
Beliau juga mengajak semua orang supaya bertanya kepada diri sendiri jikalau setiap kelakuan dan tindak tanduk dilakukan adalah selari dengan identiti mereka sebagai umat Islam.
“Bukan sahaja agama, banyak perkara lain tidak seharusnya dipolitikkan termasuk isu pendidikan dan kaum,” ujarnya lagi.