Buang makanan, tarik balik sijil halal- PPIM

Buang makanan, tarik balik sijil halal- PPIM

Nadzim juga menyarankan supaya pelanggan yang melakukan pembaziran turut dikenakan denda.

nadzim-ppim-halal

PETALING JAYA:
Restoran dan hotel yang membuang makanan secara berlebihan harus ditarik balik sijil halal.

Gesaan itu disampaikan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) ekoran isu pembuangan makanan berlebihan selepas hidangan bufet berbuka puasa yang disediakan sepanjang bulan Ramadan.

Ketua aktivisnya, Datuk Nadzim Johan dalam satu laporan di Astro Awani berkata ia sebagai langkah mengelakkan pembaziran makanan pada bulan Ramadan yang disifatkannya sebagai satu kejahilan kepada umat Islam.

“Ini melibatkan makanan dan amalan Islam itu sendiri. Jadi kalau ada pembaziran luar biasa, kemungkinan sijil halal yang ada pada hotel itu juga perlu dikaji semula.

“Pembaziran oleh hotel itu seharusnya direkod dan kerajaan tempatan harus mengenakan denda ke atas makanan yang dibuang,” kata Nadzim.

Bukan itu sahaja beliau juga menyarankan supaya pelanggan yang melakukan pembaziran turut dikenakan denda.

“Sementara itu, hotel juga boleh mendenda pengguna yang mengambil makanan secara berlebihan,” katanya.

Dalam laporan yang sama, Nadzim mengingatkan umat Islam bahawa bulan Ramadan bukan bulan pesta makan malah ia bermatlamat untuk berkongsi rasa dengan orang, menyedarkan diri sendiri dan melatih menjadi yang lebih baik.

“Perkara ini seharusnya tidak berlaku kerana dalam Islam itu sendiri, kita diajar untuk berjimat. Seharusnya bulan puasa kita makan kurang, kalau bulan biasa kita berbelanja barangan dapur atau makanan sebanyak RM1,000 sebulan, mungkin kurangkan kepada RM700 sahaja pada bulan Ramadan,” petik kata beliau lagi.

Beliau berkata demikian mengulas statistik rakyat Malaysia yang membuang 270,000 tan makanan yang ‘tidak diusik’ dan boleh dimakan semula pada setiap bulan Ramadan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.