Beliau mengumumkan mendapat gelaran itu selepas meluluskan beberapa peruntukan khusus untuk masyarakat India di Kuala Kangsar termasuk bagi menaik taraf tembok padang Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ghandi Memorial.
“Saya terima kasih, lebih-lebih saya diberi gelaran baharu hari ini. Gelaran sebagai Bapa Sekolah Kebangsaan Tamil seluruh negara. Lagi berat tanggungjawab, lagi banyak peruntukan kena lulus.
“Saya terima kasih pada masyarakat kaum India di Kuala Kangsar dan juga di seluruh negara kerana masyarakat kaum India hari ini sudah lebih memahami masa depan mereka banyak dapat pembelaan BN,” katanya ketika berucap merasmikan padang SJKT Ghandi Memorial, di Kuala Kangsar semalam.
Sebelum itu, Najib yang juga pengerusi BN berkata kerajaan setuju memperuntukkan RM100,000 bagi menaik taraf tembok sekolah itu untuk menjaga keselamatan pelajarnya dan tanah seluas 0.6 hektar di sebelah bangunan sekolah diberi untuk dijadikan padang.
Selain itu, Najib yang juga menteri kewangan turut mengumumkan peruntukan RM750,000 kepada Persatuan India Kuala Kangsar untuk membina menaik taraf bangunan yang uzur.
“Saya juga meluluskan peruntukan RM115,000 untuk membaiki pagar, menurap jalan dan membaiki tempat pembakaran mayat di Jalan Sultan Iskandar Shah,” katanya.
Najib berharap dengan peruntukan diberi itu, masyarakat India di kawasan itu dapat menyokong calon BN di Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid.
“Sebagai bapa pada Sekolah Jenis Tamil, sokonglah BN beri kemenangan pada BN,” katanya.