ADUN DAP angkuh mahu rai kemenangan dengan arak – PAS

ADUN DAP angkuh mahu rai kemenangan dengan arak – PAS

Nasrudin berkata, Suee Lim tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan itu kerana calon AMANAH yang bertanding di kedua-dua PRK itu adalah umat Islam.

Nasrudin-Hassan_ng-suee-lim_water_600

PETALING JAYA:
PAS menyifatkan ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim angkuh kerana membuat kenyataan mahu meraikan kejayaan dengan meminum arak, sekiranya AMANAH mendapat undi lebih banyak daripada parti Islam itu di PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

“Nak rancang celebrate (meraikan) kemenangan pun biarlah berpada-pada.

“Kenyataan Ng (Suee Lim) daripada DAP untuk rai kejayaan jika PAN (AMANAH) boleh menewaskan PAS dengan Carlsberg, Tiger dan Guinness Stout sebagaimana yang dilaporkan The Star dilihat sangat angkuh,” tulis Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan Tantawi di Facebooknya hari ini.

Jelas Ahli Parlimen Temerloh itu lagi, Suee Lim tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana calon AMANAH yang bertanding di kedua-dua PRK itu adalah umat Islam.

“Kebetulan calon PAN adalah juga seorang muslim. Apa pun kenyataan itu menonjolkan kesombongan yang tidak sewajarnya seperti mahu menempelak umat Islam dengan menjadikan minuman keras sebagai keraian kejayaan mereka menewaskan parti Islam,” katanya.

Semalam, Joceline Tan melalui kolumnya di akhbar The Star mendedahkan Suee Lim dalam sebuah ceramah di Sungai Besar berkata jika AMANAH memperoleh undi lebih banyak daripada PAS, “kami boleh raikan dengan Carlsberg, Tiger dan or kau (Guinness Stout)”.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Sungai Besar akan diadakan serentak dengan PRK Kuala Kangsar pada 18 Jun ini.

PRK Kuala Kangsar bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad dengan calon AMANAH, Prof Dr Ahmad Termizi Ramli; calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Manakala di Sungai Besar pula berlaku pertandingan tiga penjuru antara calon PAS, Dr Abdul Rani Osman; calon AMANAH, Azhar Abdul Shukur dan calon BN, Budiman Mohd Zohdi.

PRK kembar itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.