4 mahasiswa didakwa edar dadah terlepas tali gantung

4 mahasiswa didakwa edar dadah terlepas tali gantung

Pihak pendakwaan gagal membuktikan dadah itu berada dalam kawalan tertuduh.

Bahasa,-pelajar,-dadah,-mahkamah,-tali-gantung.
MELAKA: Empat pelajar universiti swasta terlepas hukuman gantung sampai mati setelah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini daripada pertuduhan mengedar dan memiliki dadah, dua tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Firuz Jaffril membuat keputusan itu terhadap M. Presanth, 25, S. Ravntharan, 28, S. Sathiaseelan, 27, dan M. Miraaj, 25, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie pada akhir kes pendakwaan.

Firuz berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan dadah itu berada dalam kawalan tertuduh bermakna tiada kes prima facie dibuktikan terhadap semua tertuduh.

Semua tertuduh didakwa secara bersama mengedar dadah jenis kanabis seberat 427.91 gram di sebuah rumah beralamat No 16, Lorong 12, Jalan Bukit Beruang Utama 1/5, Taman Bukit Puteri di sini pada 11.10 pagi 2 September 2014.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Selain itu semua tertuduh menghadapi tiga pertuduhan secara bersama memiliki dadah jenis kanabis masing-masing seberat 66.95 gram, 8.11 gram dan 13.32 gram di tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 6 ADB 1952.

Semua tertuduh turut didakwa atas dua pertuduhan secara bersama memiliki masing-masing dadah jenis Heroin seberat 5.61 gram dan Monoacetylmorphines seberat 0.82 gram di tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952.

Sebanyak 10 saksi pendakwaan dipanggil sepanjang perbicaraan dan sejurus selepas Firuz membacakan penghakimannya untuk melepas dan membebaskan mereka, beberapa ahli keluarga tertuduh dilihat menangis.

Presanth diwakili peguam Datuk Geethan Ram Vincent, Ravntharan diwakili peguam G. Ravishankar, Sathiaseelan diwakili peguam G. Subramaniam Nair dan Miraaj diwakili peguam Nahdan Rengganathan Abdullah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rozaliana Zakaria.

BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.