Terpedaya pelaburan emas, RM21.6 juta lebur

Terpedaya pelaburan emas, RM21.6 juta lebur

Seorang ahli perniagaan kerugian jutaan ringgit dan hanya menyedari diri tertipu selepas setahun pelaburan dibuat.

Roslan-Abd-Wahid

KUALA LUMPUR:
Seorang ahli perniagaan dari Melaka rugi RM21.6 juta selepas menjadi mangsa penipuan pembelian jongkong emas dan pelaburan yang kononnya berasaskan syariah.

Jumlah itu ialah 38% daripada kerugian keseluruhan RM56.7 juta keseluruhan di seluruh negara akibat penipuan pelaburan emas sejak Januari lalu sehingga semalam.

Memetik laporan Utusan Malaysia hari ini, lelaki berusia 43 tahun itu adalah mangsa dipercayai mengalami kerugian terbesar selepas ditipu sindiket pelaburan terbabit setakat ini.

Timbalan Pengarah Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Roslan Abd Wahid berkata mangsa ditipu selepas terpedaya dengan tawaran pembelian jongkong emas dari sebuah syarikat yang beroperasi di Semenyih, Selangor.

Beliau berkata pada mulanya mangsa hanya membeli emas dalam kuantiti sedikit iaitu kira-kira satu hingga dua kg dan apabila pelaburan berjaya memperoleh pulangan dia mula tamak.

“Mangsa dijanjikan pulangan pembelian dalam tempoh tiga hari, dan dia kemudian mengeluarkan sejumlah wang yang banyak bermula dengan RM1.5 juta.

“Berlaku beberapa transaksi lain selepas itu sehingga jumlah pelaburan mangsa mencecah RM21.6 juta bagi pembelian 187kg emas,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selepas membuat pelaburan besar, mangsa tidak menerima sebarang pulangan seperti yang dijanjikan namun dia tetap percaya apabila sindiket memintanya menunggu tempoh haul (matang) iaitu selama setahun.

Katanya, mangsa hanya menyedari ditipu sindiket terbabit apabila masih tidak mendapat pulangan selepas tamat tempoh matang dan segera membuat laporan polis pada awal November tahun lalu.

Roslan berkata siasatan yang dilakukan pihaknya mendapati syarikat pelaburan yang menipu mangsa tidak mendapat kelulusan Bank Negara dalam penjualan dan pembelian emas.

“Kita masih mengesan dalang sindiket yang merupakan pemilik syarikat berkenaan yang dipercayai menubuhkan syarikat baharu untuk melakukan penipuan seterusnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.