Penganggur Indonesia tunjuk kemaluan dipenjara 14 bulan

Penganggur Indonesia tunjuk kemaluan dipenjara 14 bulan

Tertuduh mengaku bersalah dengan niat hendak mengaibkan kehormatan wanita berumur 35 tahun itu dengan menunjukkan kemaluan dalam keadaan seluar terlondeh ke paras paha.

KUALA LUMPUR:
Padah menunjukkan kemaluan kepada seorang guru wanita, seorang penganggur warganegara Indonesia dihukum penjara 14 bulan oleh Mahkamah Majistret Ampang hari ini.

Majistret, Mohamad Izwan Mohamed Nor menjatuhkan hukuman itu ke atas Salam Rohim, 33, yang mengaku bersalah dengan niat hendak mengaibkan kehormatan wanita berumur 35 tahun itu dengan menunjukkan kemaluan dalam keadaan seluar terlondeh paras paha kepada mangsa sehingga mengganggu kesantunannya.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 29 Mei lepas.

Salam didakwa melakukan kesalahan itu di tangga ke tingkat 1 sebuah flat, di Jalan AU3/34, Taman Keramat, Hulu Kelang, pada jam 10.50 malam 25 Mei lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang baru sampai ke kawasan rumah ternampak seorang lelaki memakai baju T dan berseluar pendek sedang mengintainya berhampiran tangga.

Mangsa terus menaiki tangga dan ketika mahu membuka pintu rumah, dia terdengar bunyi kucing dan apabila menoleh ke belakang, mangsa ternampak tertuduh berdiri berhampiran dengan seluar pendeknya terlondeh.

Wanita itu terus masuk ke rumah dan menghubungi polis.

Ketika rayuan, lelaki itu yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara kerana tidak mempunyai sesiapa untuk membayar denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mahamad Amin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran kerana tertuduh telah menyalah guna pas lawatan sosial ke negara ini dengan melakukan kes jenayah selain menyebabkan mangsa trauma.

– BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.