China Press melaporkan, perunding dari Malaysia dan Filipina difahamkan telah menggunakan khidmat orang berpengaruh di selatan Filipina serta anggota Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) untuk berunding dengan kumpulan penculik itu.
Akhbar itu juga mendapat tahu rundingan demi rundingan dengan timbalan komander Abu Sayyaf, Majan Sahidjuan atau lebih dikenali sebagai Apo Mike yang mengenali pemimpin kumpulan militan itu hanya selesai pada malam Selasa.
Sebaik sahaja tebusan dibebaskan, mereka segera dihantar ke Sabah menaiki bot laju.
Perjalanan dari Pulau Jolo ke Sandakan mengambil masa kira-kira 8 hingga 9 jam menggunakan bot laju.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim yang dipetik China Press berkata, empat mangsa culik itu tiba di Sandakan, Sabah kira-kira jam 8 pagi semalam dengan diiringi pasukan keselamatan Malaysia.
Mereka kemudiannya dihantar ke hospital untuk menjalani pemeriksaan.
Noor Rashid mengesahkan semua tebusan tidak mengalami sebarang kecederaan dan sebaik selesai menjalani pemeriksaan hospital, mereka disatukan dengan keluarga masing-masing.
Difahamkan, empat mangsa itu akan tiba di Sibu, Sarawak hari ini selepas menjalani pemeriksaan di sebuah hospital di Sabah.
Bagaimanapun, akhbar berbahasa Cina itu memetik sumber sebagai berkata, empat tebusan itu telah menemui sebahagian ahli keluarga mereka di sebuah hotel di Sandakan petang semalam.
Ini kerana, keluarga mangsa difahamkan telah diaturkan ke Sandakan pada minggu lalu dan tinggal di sebuah hotel sementara menunggu berita daripada pihak berkuasa. Ini jelas menunjukkan polis sudah yakin empat pemuda itu akan dibebaskan sejak minggu lalu.
Dalam pada itu, empat tebusan itu dilaporkan dibawa ke Sandakan terlebih dahulu, bukannya terus dihantar pulang ke Sarawak kerana Sandakan adalah bandar yang paling dekat dengan Pulau Jolo.
Ini kerana, ada banyak kumpulan militan dan geng penjenayah di selatan Filipina, jadi empat tebusan itu perlu segera dihantar ke Sandakan bagi mengelakkan mereka dilarikan penjenayah lain.
Difahamkan, dalam misi menyelamatkan tebusan sejak beberapa tahun ini, perunding akan segera membawa tebusan menaiki bot ke Sandakan bagi mengelakkan kumpulan penjenayah lain berpeluang melarikan mereka.
Sebaik sahaja tiba di Sandakan, polis akan segera menghantar tebusan ke hospital untuk menjalani pemeriksaan dan mengambil keterangan mereka untuk membantu siasatan, memandangkan kes itu berlaku di Sabah dan polis negeri perlu menyoal siasat mangsa, termasuk mengenal pasti penculik dan laluan yang digunakan penjenayah.
Empat mangsa culik itu adalah Wong Teck Pang, 31, dan Wong Teck Chi, 29, Johnny Lau Jung Hien, 21, dan Wong Hung Sing, 34, yang merupakan anak kapal tunda berdaftar di Malaysia, MV MASSIVE 6.
Mereka diculik sekumpulan lelaki bersenjata di perairan berdekatan Pulau Ligitan, ketika dalam perjalanan pulang dari Filipina ke Malaysia, pada 1 April lalu.