Menteri percaya media tidak putar kenyataan Nizar

Menteri percaya media tidak putar kenyataan Nizar

Ismail Sabri percaya media beroperasi atas etika tertentu

ismail sabri

KUALA KANGSAR:
Tindakan Timbalan Pengerusi AMANAH Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin menyalahkan media berhubung kenyataan membabitkan Allahyarham Datuk Wan Mohamad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam sebuah ceramah 7 Jun lalu ditempelak.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob percaya media tidak akan mengada-adakan berita kerana mereka beroperasi atas etika tertentu.

“Saya lebih yakin dengan media. Saya sentiasa sokong media. Jadi, saya percaya kamu semua dari media mana pun, sama ada media arus perdana atau media sosial, saya percaya kamu semuanya mempunyai etika.

“Tidak akan lapor benda yang tidak diperkatakan. Macam saya cakap hari ini, kamu semua akan laporkan apa saya cakap, takkan kamu buat benda yang saya tak cakap.

“Walaupun saya tidak dengar (ucapan Nizar), tetapi apabila media laporkan saya percaya memang dia cakap,” katanya dalam satu sidang media selepas merasmikan majlis bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Parlimen Kuala Kangsar di Auditorium Tun Abdul Razak, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Nizar yang menyalahkan media dengan berkata ucapannya dipetik di luar konteks oleh pihak media.

Nizar dikecam hebat oleh pimpinan BN yang menyifatkan ucapannya sebagai biadap, manakala pimpinan AMANAH pula menjauhkan diri daripada kenyataan itu.

Nizar telah memohon maaf kepada keluarga Allahyarham, dan balu, Datin Mastura Yazid sedia memaafkannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.