Mastura ikrar jadi ejen orang Kuala

Mastura ikrar jadi ejen orang Kuala

Andai terpilih menjadi Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Mastura akan memastikan lima agenda itu direalisasikan sebelum PRU14.

Datin Mastura Mohd Yazid

KUALA KANGSAR:
Calon BN di PRK Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid hari ini berjanji akan terus membangunkan Kuala Kangsar menerusi lima agenda yang dinamakan ‘Memperjuangkan Harapan Orang Kuala’, sekiranya beliau menang pada 18 Jun nanti.

“Saya perkenalkan lima agenda kepada Kuala Kangsar hari ini, iaitu menaik taraf Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) kepada universiti awam, menyegerakan kelulusan projek Jambatan Manong dan memohon kelulusan projek membesar serta melebarkan Jalan Manong-Kuala Kangsar.

“Selain itu, saya juga mahu menaik taraf Hospital Kuala Kangsar kepada hospital pakar dan membangunkan semula lembah serta tebing Sungai Perak sebagai pusat pelancongan,” katanya dalam satu sidang media di rumahnya hari ini.

Mengulas lanjut, Mastura berkata, kelima-lima agenda itu merupakan ilham suaminya, Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

“Sebenarnya, lima agenda itu merupakan buah pemikiran arwah. Saya harap saya akan jadi ejen buat orang Kuala untuk merealisasikan agenda itu.

“Jadi, apa yang memberi kebaikan buat orang Kuala saya akan utamakan,” katanya.

Andai terpilih menjadi Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Mastura akan memastikan lima agenda itu direalisasikan sebelum PRU14.

“Kalau dipilih, saya hanya ada tempoh dua tahun. Saya akan pastikan ia terlaksana dan mendapat perhatian kerajaan pusat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.