Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura (MSCSPGA) berkata ia berdasarkan kaji selidik yang dijalankan Merdeka Center Mei lalu, yang mendapati 81% rakyat Malaysia bimbang kotak rokok tidak berjenama akan hanya memudahkan penyeludup menjual rokok menggunakan bungkusan palsu.
Kaji selidik itu melibatkan 1,212 orang berumur 18 tahun ke atas, dengan pecahan kaum 50% Melayu, 30% Cina, 8% India, selebihnya Bumiputera Islam dan Bumiputera bukan Islam.
Ia juga mendapati 88% responden setuju perokok akan memilih rokok diseludup kerana lebih murah, sekiranya peraturan baharu itu dikuatkuasakan.
“Sudah cukup sulit bagi ahli kami dan dengan bertambahnya rokok haram, keadaan akan bertambah buruk dan kami amat bimbang masa depan peruncit,” kata Presiden MSCSPGA, Ho Su Mong.
Februari lalu, Kementerian Kesihatan mengumumkan mewajibkan pengeluar rokok menggunakan bungkusan tanpa jenama, sebagai usaha mengurangkan daya tarikan jenama serta perokok baharu.
Peraturan menjual kotak rokok tanpa jenama sudah pun dilaksanakan Australia pada 2012, dan bakal diperkenalkan di Ireland, Britain dan Perancis.
Ho berkata rokok haram kini semakin banyak dalam pasaran susulan kenaikan harga rokok pada tahun lalu.
Katanya, peraturan itu akan menyulitkan pihak penguatkuasa membezakan rokok tulen daripada rokok haram.
Kajian Merdeka Center itu juga mengaitkan kebanjiran rokok seludup dengan aktiviti jenayah, dengan berkata 65% responden bimbang peraturan rokok tanpa jenama boleh meningkatkan jenayah.
Ia juga mendapati 78% yang ditemui percaya golongan muda akan lebih mudah mendapatkan bekalan rokok seludup yang lebih murah.
“Kami memahami dan menghormati objektif kerajaan mengurangkan tabiat merokok. Namun begitu, dengan hampir separuh rokok di Malaysia dijual pada harga serendah RM3.50, kami merayu kerajaan memberi lebih fokus mengawal penyebaran rokok haram daripada memperkenalkan peraturan yang akan hanya memburukkan masalah tersebut,” kata Ho.
