Beliau khuatir Hakim Mahkamah Sesyen tidak mengambil kira prinsip undang-undang yang menyebabkan remaja berusia 19 tahun itu berhak untuk mendapat pengurangan hukuman seperti pengakuan bersalah, umur dan tidak ada mangsa dalam kes ini.
“Hakim Mahkamah Sesyen mengenakan hukuman yang maksimum untuk kesalahan itu,” kata Syahredzan Johan melalui catatan Facebook malam tadi.
“Ini merupakan satu kekhilafan yang jelas di pihak Hakim Mahkamah Sesyen.
“Hukuman itu adalah keterlaluan.”
Amirul dijatuhkan hukuman penjara oleh Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Sabariah Atan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membuat komen bersifat jelek terhadap TMJ menerusi laman sosial Facebook, antara Mac dan April lalu.
Amirul merayu mahkamah meringankan hukuman memandangkan dia daripada keluarga miskin dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahannya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Nor Azizah Mohamad memohon menjatuhkan hukuman berat kerana ia kesalahan serius berbentuk penghinaan terhadap TMJ yang bakal menjadi Sultan Johor.
Namun bagi Syahredzan, Hakim Mahkamah Sesyen wajar mengambil kira samada kesalahan itu merupakan kesalahan Amirul yang pertama.
“Peristiwa yang paling menyedihkan dalam kes ini adalah remaja ini tidak diwakili peguam. Ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem keadilan sekiranya remaja itu tidak diberitahu haknya untuk mendapatkan peguam,” tegasnya.
Malah, dalam situasi seperti ini, peguam hak asasi manusia itu berkata DPP bertanggungjawab bukan sahaja untuk Kerajaan, tetapi juga untuk memaklumkan mahkamah perkara-perkara yang boleh mengurangkan hukuman Muhammad Amirul Azwan Mohd Shakri.
“Seolah-olah menjadi tren hari ini di mana pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang ‘menghina’ VIP.
“Maaf, tetapi ia sebenarnya bukan urusan Kerajaan untuk mengawal selia adab. Ia juga bukan urusan Kerajaan untuk memastikan perasaan orang-orang penting tidak disakiti.
“Lagipun, sikap kurang ajar bukan jenayah,” katanya.
