Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim yang dipetik Sin Chew Daily sebagai berkata, empat rakyat Sarawak itu telah dibebaskan semalam dan tiba di Sandakan, Sabah pagi tadi.
Pejabat Ketua Menteri Sarawak juga telah dimaklumkan mengenai pembebasan tebusan itu oleh Bukit Aman.
Pada masa sama, lapor akhbar berbahasa Cina itu lagi, Kedutaan Filipina di Malaysia juga telah mengesahkan tebusan berkenaan telah dibebaskan.
Bagaimanapun, keluarga mangsa sehingga kini belum menemui mereka.
Aktivis anti penculikan di selatan Filipina, Prof Octavio Dinampo berkata, empat tebusan dari Sarawak itu, Wong Teck Kang, 31, Wong Teck Chi, 29, Johnny Lau Jung Hien, 21, dan Wong Hung Sing, 34, dibebaskan berhampiran Kampung Patikul semalam.
“Perunding dari Malaysia dan Filipina melalui satu siri perbincangan mencemaskan dengan orang tengah kumpulan militan itu sejak beberapa minggu lalu dan akhirnya mereka berempat dibebaskan,” katanya.
Beliau berkata, empat tebusan itu dipercayai diculik kumpulan militan yang diketuai timbalan komander Abu Sayyaf yang dikenali sebagai Apo Mike (nama sebenar Majan Sahidjuan).
Terdahulu, pihak berkuasa Filipina mengesahkan empat rakyat Malaysia yang diculik kumpulan militan Abu Sayyaf pada 1 April lalu telah dibebaskan kumpulan penculik berkenaan.
Agensi berita Bernama yang memetik portal berita Philstar.com sebagai berkata, Pengarah Polis Wilayah Sulu, Senior Superintenden Wilfredo Cayat dalam satu kenyataan telah mengesahkan pembebasan itu yang dipercayai dibuat sebelum tengah malam Selasa, namun beliau tidak memberi maklumat lanjut.
Sementara itu, jurucakap Western Mindanao Command (Westmincom), Mej Filemon Tan Jr yang dipetik portal berita berkenaan pula berkata, empat mangsa culik rakyat Malaysia berkenaan dilaporkan dibebaskan pada awal hari ini (Rabu).
Bagaimanapun, Filemon Tan berkata, unit risikan mereka masih mengumpul maklumat tentang bila dan di mana kumpulan Abu Sayyaf membebaskan keempat-empat mangsa culik berkenaan.
Empat rakyat Malaysia dari Sarawak itu diculik pada 1 April lalu ketika belayar menggunakan kapal tunda dari Manila ke Sabah.