Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad berkata, parti terbabit secara rasmi tidak menganggap kematian dua wakil rakyat BN itu sebagai hukuman.
“Jika itu yang dimaksudkan oleh Nizar, maka AMANAH tidak bersetuju kerana kita tidak tahu apa hikmah yang berlaku di sebalik kejadian ini dan hanya Allah yang mengetahuinya.
“Kita tidak mahu berpura-pura seolah-olah kita mengetahui hikmah di sebalik segala apa yang Tuhan lakukan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat AMANAH Sungai Besar hari ini.
Jelas Khalid, apa yang penting ialah AMANAH menumpukan perhatian terhadap PRK kali ini bagi untuk menewaskan BN.
“Apa yang penting, kita berhadapan dengan dua pilihan raya kecil dan bertanding bagi menunjukkan Pakatan Harapan sebagai gabungan yang mahu menggantikan BN,” katanya.
Isnin lalu, Nizar dalam ceramahnya di Kuala Kangsar mengaitkan tragedi dua ahli Parlimen BN yang terbunuh dalam nahas helikopter di Sarawak, awal bulan lalu sebagai balasan Allah terhadap kerajaan persekutuan.