Polis minta UK beri butiran kenal pasti mangsa Huckle

Polis minta UK beri butiran kenal pasti mangsa Huckle

Polis juga sedang cuba mengenal pasti tempat-tempat yang dikunjungi Huckle semasa dia berada di Malaysia selama lapan tahun.

Noor-Rashid-NCA-Richard-1
KUALA LUMPUR: Polis di Malaysia akan meminta Agensi Anti Jenayah Kebangsaan (NCA) United Kingdom memberi butiran mengenai pedofil warga Britain, Richard Huckle untuk memudahkan usaha mengenal pasti mangsa.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, buat masa ini pihaknya sedang berbincang dengan NCA untuk mendapatkan butiran kes.

“Kita tengah berbincang dengan mereka untuk mendapatkan laporan berkenaan bagi memudahkan kita mengenal pasti mangsa yang terlibat.

“Mangsa yang dikenal pasti adalah seramai 23 kanak-kanak dan polis sedang berusaha untuk mengesan kesemua mereka,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi malam tadi.

Noor Rashid berkata, polis juga sedang cuba mengenal pasti tempat-tempat yang dikunjungi Huckle semasa dia berada di Malaysia selama lapan tahun.

“Setakat ini, kita kenal pasti satu kawasan di Jalan Kuching, Kuala Lumpur manakala satu lagi kawasan sedang dipantau,” katanya.

Sementara itu, beliau juga meminta pihak berkuasa berkaitan di semua negara untuk berkongsi maklumat mengenai pelaku pedofilia bagi mengelak insiden sama daripada berulang pada masa depan.

“Kita perlu bekerjasama, bantu satu sama lain bagi mengelak perkara sama berulang,” katanya.

Huckle, 30, dijatuhi 22 hukuman penjara seumur hidup oleh sebuah mahkamah di London semalam kerana melakukan pencabulan seksual ke atas 23 bayi dan kanak-kanak di Malaysia serta Kemboja dalam tempoh hampir sedekad.

Huckle mengaku bersalah terhadap 71 daripada 91 pertuduhan dan polis menemui lebih 20,000 imej lucah kanak-kanak di dalam komputer serta kameranya ketika dia ditangkap di Lapangan Terbang Gatwick, London pada 2014.

Menurut laporan media Britain baru-baru ini, jurugambar bebas itu mungkin telah melakukan pencabulan seksual ke atas 200 kanak-kanak berumur enam bulan hingga 12 tahun dari 2006 hingga 2014.

– BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.