Pencari kulat mati dalam perahu

Pencari kulat mati dalam perahu

Mangsa keluar dari rumahnya petang semalam untuk mencari kulat di satu kawasan belukar tidak jauh dari rumahnya.

Mati-dalam-perahu

BESUT:
Kehilangan seorang warga emas yang dikatakan keluar dari rumahnya untuk mencari kulat sejak tengah hari semalam terjawab apabila dia ditemui meninggal dunia di dalam sebuah perahu di tepi Sungai Tembila pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Mohd Zamri Mohd Rowi memberitahu mangsa ialah Ismail Salleh, 72, dari Kampung Tembila dekat sini.

Beliau berkata mangsa dipercayai keluar dari rumahnya pada 2 petang semalam untuk mencari kulat di satu kawasan belukar tidak jauh dari rumahnya.

“Ahli keluarganya kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Raja selepas mangsa didapati tidak pulang ke rumah sehingga 8 malam.

“Mangsa akhirnya ditemui pasukan penyelamat pada 9.10 pagi tadi di dalam sebuah perahu milik penduduk di tepi Sungai Tembila dalam keadaan tertiarap dengan kepalanya berada di dalam air,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Besut untuk dibedah siasat.

-BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.