Siasatan kematian menantu TPM dijangka selesai 1 atau 2 minggu

Siasatan kematian menantu TPM dijangka selesai 1 atau 2 minggu

Siasatan sedang dilakukan secara terperinci oleh Bahagian Amalan Perubatan dan Bahagian Pergigian Kementerian Kesihatan meliputi semua aspek profesionalisme perubatan.

Subramaniam_syed-alam_600

MELAKA:
Siasatan terhadap kes kematian menantu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi dijangka selesai dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, siasatan itu meliputi semua aspek profesionalisme perubatan, termasuk amalan yang dijalankan serta pengamal perubatan bertugas ketika rawatan diberikan kepada mangsa.

“Siasatan sedang dilakukan secara terperinci oleh Bahagian Amalan Perubatan dan Bahagian Pergigian Kementerian Kesihatan, mungkin dalam satu atau dua minggu akan selesai segala siasatan yang dibuat.

“Setakat ini, ada beberapa perkara dibawa kepada pengetahuan saya, namun saya tidak akan mengumumkannya sehingga siasatan menyeluruh selesai,” katanya selepas Majlis Perasmian Pooja Boomi dan meletak batu asas Kuil Sri Vanathandavar di Sungai Udang hari ini.

Syed Alman Zain, 44, suami kepada anak sulung Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Nurulhidayah dilaporkan pergi ke sebuah klinik pergigian di Bangsar kira-kira jam 6 petang Rabu lalu untuk mendapatkan rawatan pergigian bersama seorang rakannya sebelum tidak sedarkan diri.

Allahyarham kemudian dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan disahkan meninggal dunia.

Dr Subramaniam berkata, klinik swasta berkenaan dikawal mengikut Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 dan tindakan akan diambil berdasarkan hasil siasatan tersebut.

“Kita juga akan lihat kes ini mengikut akta lain, antaranya Akta Perubatan 1971 dan Akta Pergigian 1971. Undang-undang yang ada cukup untuk diambil tindakan kerana kita memang tegas,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya dalam usaha untuk meningkatkan penglibatan kaum India dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk berbakti kepada negara.

Beliau berkata, antara langkah yang boleh dilakukan bagi merealisasikan hasrat itu adalah mengadakan lebih banyak pengambilan khusus untuk kaum India seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.

“Penglibatan kaum India dalam ATM amat rendah. Secara keseluruhan kurang daripada 4% daripada mereka dapat berkhidmat dalam pelbagai jawatan kerajaan pada masa kini.

“Kita sasarkan untuk meningkatkan jumlah ini pada masa akan datang,” katanya.

BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.