PKR perlu pilih mahu bersama PAS atau PH

PKR perlu pilih mahu bersama PAS atau PH

PKR tidak boleh terus menjalin kerjasama dengan PH dan PAS, kerana DAP dan AMANAH merupakan musuh politik parti Islam itu.

PAS PKR

PENGKALAN CHEPA:
Dewan Pemuda PAS memberi kata dua kepada sekutunya, PKR untuk menyuarakan pendirian sama ada masih mahu bersama parti Islam itu atau membawa diri bersama Pakatan Harapan (PH).

Wakil Dewan Pemuda PAS, Ahmad Fadli Shaari berkata, PKR tidak boleh terus menjalin kerjasama dengan kedua-dua pihak, apatah lagi DAP dan AMANAH dalam PH yang merupakan musuh politik parti Islam itu.

“Dewan Pemuda mengajak semua untuk menilai hubungan kita (PAS) dengan PKR, kita faham ramai rakan kita dalam PKR yang masih sayangkan kita.

“Namun, mana mungkin cinta ini dapat bertahan sekiranya DAP dan PKR masih duduk bersama bahkah menjalinkan hubungan mesra dengan parti satu lagi (AMANAH).

“PKR perlu jelas dengan siapa mereka mahu bersama, dengan PAS atau DAP? Kalau keli katakan keli, tidak hamba katakan haruan, kalau kuali katakan kuali, tidak hamba katakan rembulan,” katanya semasa sesi perbahasan ucapan dasar Presiden PAS di Muktamar Tahunan PAS Ke-62 semalam.

Nada sama juga disuarakan Dewan Muslimat PAS kelmarin, apabila menerima usul mendesak parti Islam itu mengkaji semula hubungan tahaluf siyasi dengan PKR, terutama pada pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu akan meneliti usul memutuskan hubungan dengan PKR sebelum keputusan muktamad dibuat.

Ahmad Fadli yang juga Ketua Penerangan Pemuda PAS dalam ucapannya turut menjawab tohmahan pihak lawan, termasuk AMANAH berhubung pendirian parti dalam membuat keputusan.

Katanya, segala tohmahan yang dibuat parti serpihan PAS itu merupakan perkara biasa dan pernah berlaku kepada orang Yahudi dengan umat Islam ketika zaman Nabi.

“Soal tohmahan itu satu perkara biasa, kita (PAS) pakai tanjak orang kata kita terlampau Melayu, kita pakai jubah orang kata kita Arab, serba tak kena.

“Kita bentang RUU 355 (Rang Undang-undang Persendirian Akta 355) orang kata kita bersatu dengan UMNO, kalau tak bentang orang kata kita ditipu UMNO. Inilah dia politik pak pandir yang sedang diamalkan pemerhati politik hari ini,” kata Ahmad Fadli yang membidas pengkritik politik tempatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.