
Bercakap kepada FMT, perwakilan Perhimpunan Agung Umno 2025 (PAU2025) berpendapat Akmal sepatutnya menumpukan usaha menawan kerusi Melayu yang ketika ini banyak dikuasai Perikatan Nasional (PN) menerusi PAS serta Bersatu.
Seorang perwakilan dari Perak yang enggan dinamakan mengakui perseteruan lama dengan DAP mungkin menyebabkannya menjadi sasaran, namun parti itu lebih fokus kerusi pengundi bercampur atau majoriti bukan Melayu.
“Naratif Akmal bawa menyerang DAP dan melabel sebagai musuh Umno sudah tersasar. Di gelanggang pilihan raya, kita bertembung dengan PN atau PKR.
“Ini bukan bermaksud kita tidak kritikal terhadap DAP – kita tahu banyak dasar mereka tidak seiring dengan Umno, malah sering menentang kita.
“Tetapi dari segi strategi pilihan raya, kita tak boleh kata DAP musuh utama,” katanya kepada FMT ketika ditemui di tepian PAU2025.
Akmal dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Pemuda mengumumkan meletak jawatan sebagai exco kemajuan desa, pertanian dan keterjaminan Melaka, dengan menzahirkan melawan DAP habis-habisan.
Dalam penggulungannya, beliau turut berikrar ‘melahirkan 300,000 Akmal’ bagi berdepan pihak yang mengkritiknya termasuk DAP.
Pada konvensyen khas Pemuda Umno 3 Jan lalu, Adun Merlimau itu menggesa Umno keluar kerajaan untuk bekerjasama dengan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN).
Namun, Presiden Umno Zahid Hamidi menegaskan parti itu kekal dalam pentadbiran diketuai Anwar Ibrahim.
Sementara itu, seorang pemimpin bahagian dari Pahang berkata, Umno masih memerlukan kerjasama dengan DAP dalam kerajaan perpaduan untuk mengukuhkan kedudukan politik, khususnya di negeri tersebut yang menjadi sasaran utama PN.
“Di Pahang, musuh kita jelas ialah PN. Mereka yang mahu menawan negeri ini.
“Jadi kita tak boleh canang DAP musuh Umno kerana ia akan menakutkan pengundi bukan Melayu, malah boleh menyebabkan pengundi Melayu beralih sokongan,” katanya sambil menyatakan retorik berlebihan terhadap DAP boleh memakan diri.
“Bila kita bina naratif, kena pastikan ia tidak memakan diri kita semula.”