
Aktivis hak asasi manusia, Syed Azmi Alhabshi membongkar perkara itu dalam Facebooknya sekali gus memberi amaran tentang kewujudan kumpulan tersebut di Malaysia.
Dalam muatnaiknya itu, Syed Azmi memapar rakam layar termasuk gambar seorang kanak-kanak yang dikaburkan yang diterimanya daripada seorang rakan menerusi rangkaian Telegram yang disertai 751 ahli.
Ketika dihubungi FMT, Syed Azmi akui dia mempunyai semua nama dan nombor ahli dalam kumpulan tersebut dan apa yang mengejutkannya adalah berdasarkan tahun kelahiran mereka, dia mengesyaki sebahagian daripada mereka masih muda.
Beliau yang pernah kontroversi dengan program ‘sentuh anjing’ menasihatkan ibu bapa yang memuatnaik gambar anak-anak di laman sosial supaya lebih berhati-hati.
“Gambar berkenaan boleh diedarkan dan digunakan dengan cara yang salah. Ini juga merupakan peringatan kepada diri saya dan keluarga saya. Ia seolah-olah tidak merbahaya tetapi sekiranya gambar itu digunakan dengan cara yang salah, tidak ada cara untuk berpatah balik,” katanya.
Tambahnya, dia juga sudi untuk bekerjasama dengan polis berhubung kewujudan kumpulan berkenaan.
“Saya tidak kenal sesiapapun daripada kumpulan itu. Rakam layar itu dihantar kepada saya. Tetapi saya sudah minta individu yang menghantarnya supaya membuat laporan polis dan membuat tindakan lanjut yang sepatutnya.
“Saya juga sedia bekerjasama dengan pihak polis dalam apa sahaja bentuk bantuan,” katanya yang kesal dengan kewujudan kumpulan itu.
Terdahulu, seorang pedofil British berdepan hukuman penjara seumur hidup selepas mengaku terbabit dalam satu siri serangan seks ke atas kanak-kanak di Malaysia.
Richard Huckle, 30, mengambil gambar dan video dia mendera kanak-kanak terbabit sebelum memuat naik ke sebuah laman web yang sukar diakses dalam Internet dan kerap digunakan untuk kegiatan haram.
Penyiasat menemui lebih 20,000 imej lucah dalam komputernya, selain catatan mengenai serangan yang dilakukannya serta sebuah buku panduan yang ditulisnya bertajuk “Pedofil dan Kemiskinan: Panduan Pengemar Kanak-kanak”.