Sijil Pemilikan Kenderaan ganti geran kereta

Sijil Pemilikan Kenderaan ganti geran kereta

VOC tidak akan berfungsi sebagai dokumen atau instrumen bagi urusan seperti Pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (cukai jalan), Tukar Hak Milik atau Pindaan Maklumat.

sijil-pemilikan-kenderaan

PUTRAJAYA:
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperkenalkan Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) bagi menggantikan Kad Pendaftaran Kenderaan (RC) yang lebih dikenali sebagai geran kereta.

Ia akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mengikut tiga fasa bermula hari ini.

JPJ dalam satu kenyataan berkata, pengenalan VOC masih merupakan suatu perakuan pendaftaran yang dikeluarkan di bawah peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mengandungi butiran pemilik dan kenderaan.

Bagi fasa pertama bermula hari ini, VOC akan dikeluarkan kepada pemilik pendaftaran kenderaan baru dan pemilik baru bagi proses tukar hak milik kenderaan.

Manakala fasa kedua bermula 1 September ini, VOC akan dikeluarkan kepada pemilik yang membuat pembaharuan cukai jalan dan pemilik yang membuat pindaan/pembetulan maklumat kenderaan.

Bagi fasa ketiga bermula 1 Januari 2017, VOC akan dikeluarkan kepada pemilik yang hadir ke JPJ secara sukarela bagi menggantikan RC.

“JPJ menyasarkan menjelang 1 Januari 2020, semua pemilik kenderaan berdaftar telah melaksanakan gantian RC Kenderaan kepada VOC.

“Dengan pelaksanaan VOC ini, sistem penyampaian perkhidmatan melalui transaksi dalam talian juga bakal lebih diperluaskan serta dilaksanakan dengan mudah dan pantas,” katanya.

VOC merupakan salah satu transformasi jabatan itu.

Dalam usaha untuk memudahkan urus niaga dengan agensi itu, JPJ berkata VOC yang diperkenalkan ini tidak lagi digunakan sebagai dokumen atau instrumen bagi urusan seperti Pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (cukai jalan), Tukar Hak Milik atau Pindaan Maklumat.

VOC tidak mengandungi cetakan rekod urus niaga seperti mana yang terdapat pada RC, manakala semakan data dilakukan terus dengan sistem pangkalan data JPJ.

– BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.