Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan ketika mengulas permintaan Husam untuk menghadiri muktamar itu berkata pemimpin itu sudah diisytiharkan tidak berparti dan PAS tidak boleh membenarkannya menghadiri perhimpunan sebagai perwakilan lagi.
“Dia boleh datang, kita bagi dia pemerhati sajalah,” kata Takiyuddin dipetik daripada Harian Metro.
Husam yang juga ADUN Salor dipecat daripada PAS pada 6 Mei lalu kerana didapati melakukan tindakan dan perbuatan yang melanggar Fasal 82(1)(b), (c), (d), (e) dan (f) Perlembagaan PAS.
Takiyuddin berkata PAS tidak menyekat mana-mana bekas ahlinya untuk turut serta sebagai pemerhati.
“Kita juga serahkan soal kedudukan Husam kepada speaker yang akan tentukan dalam sidang DUN pada 1 dan 2 Jun nanti,” katanya.
Pada masa sama, katanya Husam perlu mengikut saluran yang betul dalam permohonannya untuk kembali bersama parti itu.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Husam dalam satu ceramahnya di ibu kota, baru-baru ini, yang mendakwa dirinya dihalang mengikuti muktamar itu.
Muktamar PAS Ke-62 akan berlangsung hari ini sehingga 3 Jun dijangka dihadiri sehingga 2,000 perwakilan dari seluruh negara dengan 300 muka baharu.
Harian Metro melaporkan, PAS menafikan tindakan mengadakan taklimat presiden secara tertutup pada Rabu kerana sengaja merahsiakan ucapan dasar presiden parti.
“Taklimat tertutup itu kerana mahu membincangkan hal berkaitan pengurusan parti. Kita buat begitu untuk kurangkan masa berucap sebaliknya mahu fokus kepada kepentingan ahli nanti,” katanya.
