Menurut kajian Indeks Global Perhambaan 2016 yang diterbitkan oleh Yayasan Walk Free, statistik penghambaan ini meningkat kepada 28% daripada anggaran terdahulu iaitu 45.8 juta yang dilaporkan tahun lepas berbanding 35.8 juta pada tahun 2014.
Mengejutkan apabila laporan yang sama mendedahkan kira-kira 129,000 individu atau 0.4% penduduk Malaysia masih terperangkap dalam penghambaan moden ini.
Dalam konteks Asia Tenggara, Malaysia mempunyai kekerapan kelima tertinggi dari segi peratusan penghambaan meletakkannya di belakang Kemboja, Myanmar, Brunei dan Thailand.
Laporan itu juga membongkar kes-kes buruh paksa dan eksploitasi dalam industri tertentu menjurus kepada penghambaan moden ini.
Bagaimanapun, dalam konteks bilangan mutlak orang yang terjerat dalam penghambaan moden, Malaysia berada di kedudukan ke-50, jauh di belakang Indonesia (736,100 orang) dan Myanmar (515.100 orang).
Indeks 2016 juga menunjukkan rantau Asia Pasifik memiliki dua pertiga daripada hamba moden di dunia.
Ia sekali gus mencerminkan hakikat bahawa rantau ini menyediakan buruh kurang mahir untuk rantaian bekalan global menghasilkan makanan, pakaian dan teknologi.
Di peringkat global, India merupakan negara yang mempunyai jumlah tertinggi hamba dengan 18.4 juta orang dalam kalangan penduduknya yang berjumlah 1.3 bilion orang.
India diikuti oleh China (3.39 juta), Pakistan (2.13 juta), Bangladesh (1.53 juta) dan Uzbekistan (1.23 juta), dan kelima-lima negara itu sahaja sudah mencapai 58% daripada peratusan keseluruhan hamba dunia iaitu 26.6 juta orang.
Korea Utara mempunyai kadar tertinggi penghambaan moden dengan 4.37% daripada penduduknya diperhambakan, dengan nisbah satu dalam setiap 20 orang.
Pengerusi dan pengasas Yayasan Walk Free, Andrew Forrest berkata selain kerajaan dan masyarakat sivil, dunia komersial memainkan peranan penting dalam membasmi penghambaan.
“Pemimpin ekonomi utama di dunia mesti membawa kuasa perniagaan dalam isu ini, dengan memberi tumpuan kepada rantaian bekalan yang telus,” katanya laporan yang dikeluarkan pada hari Selasa, lapor The Star.
Indeks 2016 adalah berdasarkan kepada lebih 42,000 temu bual oleh pengumpul suara Gallup di 25 buah negara dalam 53 bahasa.
Penghambaan moden wujud di semua 167 negara melalui penyeludupan manusia, buruh paksa, ikatan hutang, paksaan atau perkahwinan kanak-kanak atau eksploitasi seks komersil.
