Pengumuman tersebut disambut dengan sorakan dan suasana yang penuh bersemangat, apabila Pemangku Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Budiman tokoh terbaik untuk menggalas tanggungjawab itu.
“Saya berjanji jika Budiman menang dengan majoriti yang baik, saya sendiri akan turun dan membantu bahagian ini,” katanya kepada lebih 3,000 penyokong yang hampir kesemuanya memakai baju berwarna merah dan biru – warna rasmi UMNO dan BN.
Budiman, 44 tahun, menyambut ucapan tersebut dengan senyuman, dan melihat dirinya sebagai calon ‘underdog’.
Katanya, beliau tidak bimbang dengan pertembungan tiga penjuru yang hampir pasti berlaku kerana yakin dengan kekuatan Umno untuk menewaskan pembangkang.
“Saya akan bertanding sebagai ‘underdog’. Saya tahu pada PRU lalu BN hanya menang dengan majoriti kecil tetapi saya yakin keadaan semasa di mana parti-parti dalam BN bersatu.
“Saya akan gunakan rekod baik saya sebagai ADUN Sungai Panjang untuk dibawa ke Parlimen. Saya akan terus bekera di sini dan berkhidmat kepada semua masyarakat, sama ada Melayu, India atau Cina,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman tersebut.
Ketika ditanya sama ada beliau boleh menggalas tanggungjawab sebagai ADUN dan Ahli Parlimen secara serentak, anak jati Sungai Besar itu berkata yang beliau mampu melaksanakannya dengan lebih baik berbanding Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali yang juga merupakan ADUN dan ahli Parlimen.
“Saya rasa MB Selangor juga melakukan perkara yang sama, beliau adalah ADUN Bukit Antarabangsa dan Ahli Parlimen Gombak. Ini bukan sesuatu yang baru atau tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya lagi.
Antara yang turut hadir dalam majlis itu adalah Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar; Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin serta pemimpin parti komponen BN seperti Naib Presiden Gerakan, Datuk A Kohilan Pillay dan Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon.
Budiman akan berhadapan dengan calon PAS Abdul Rani Osman yang juga ADUN Meru dan kemungkinan besar calon daripada Pakatan Harapan.